comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tarikh laksana penyasaran subsidi diesel belum ditetapkan kerajaan


KLANG: Penetapan tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api diesel belum diputuskan kerajaan setakat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebagaimana disebutkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara prinsipnya kerajaan bersetuju melaksanakan penyasaran semula subsidi bahan api diesel pada tahun ini.

“Namun selagi mana jemaah menteri belum berpuas hati dengan mekanisma penyasaran itu termasuklah dalam sistem penentuan kumpulan sasar untuk mendapatkan bantuan sosial tersebut, maka kerajaan belum menetapkan tarikh.

“Sebaik sahaja kerajaan memperkemaskan, memperkukuhkan mekanisma kedua iaitu pemberian bantuan sosial kepada golongan sasar itu..Saya fikir barulah kerajaan membuat pengumuman dari segi tarikh pelaksanaan.

“Apa yang penting sebagaimana disebutkan Perdana Menteri, penyasaran semula subsidi disasarkan kepada mereka yang layak untuk dibantu.

“Bukan lagi bantuan subsidi diesel secara pukal yang juga dimanfaatkan oleh mereka yang tidak bersesuaian termasuklah warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Pengesahan Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 kepada Syarikat Pengangkutan Darat Bersama Wakil Syarikat Minyak di Kawasan Rehat dan Rawat Klang Utara, Lebuhraya Grand Sepadu, di sini hari ini.

Armizan menjelaskan, agenda pelaksanaan berkenaan turut membabitkan pelbagai kementerian yang semua kementerian yang berkenan sudah bersedia.

“(Pelaksanaan ini).. melibatkan Kementerian Kewangan (MOF); Kementerian Pengangkutan; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM); Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” katanya.

Beliau berkata, KPDN akan melaksanakan beberapa pendekatan dalam usaha memastikan tiada pihak mengambil kesempatan melakukan pencatutan harga terhadap barangan kawalan selepas pelarasan semula harga diesel.

“Kita akan umum di peringkat KPDN sebaik sahaja kerajaan umum tarikh penyasaran semula subsidi bahan api diesel. Kita akan umum apa pendekatan kita dalam memastikan tiada pihak melakukan pencatutan terhadap barang-barang keperluan,” katanya.

Sementara Armizan berkata, sehingga semalam sejumlah 28,000 syarikat pengangkutan darat sudah mendaftar dan mendapat kelulusan dalam pelaksanaan SKDS 2.0.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini