comscore
Tumpuan :
Nasional

Tarikh penyasaran subsidi diumumkan saat akhir, elak penyeludupan – Rafizi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sudah ditetapkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata pengumuman tidak boleh dibuat terlalu awal bagi mengelakkan ketirisan di pelbagai peringkat.

Katanya, pengumuman awal akan mengakibatkan pembekal menyimpan stok dan berlaku penyeludupan.

“Adakah ia akan sama dengan tarikh penerimaan pertama bantuan tunai BUDI MADANI pada 10 Jun ini? Ia bergantung kepada pengumuman.

Anggaran penjimatan RM4 bilion penyasaran subsidi diesel dijangka beri ruang fiskal lebih luas bantu rakyat

“Kerajaan tidak mahu umum terlalu awal berdasaskan kepada pertimbangan beberapa faktor. Pertama kita tak nak ada kesan kepada inflasi.

“Selain itu, mengenai bekalan juga kerana tak mahu pembekal simpan bekalan diesel atau berlakunya penyeludupan.

“Program rasionalisasi subsidi diesel dan petrol ini masih di landasan yang betul seiring dengan sasaran garis masa yang ditetapkan” katanya selepas merasmikan Banci Perkhidmatan dan Peralatan Minyak & Gas (OGSE) 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin; Pengerusi Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Datuk Dr Ahmad Suhaili Idrus; Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Ja’afar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr Yatimah Sarjiman.

Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan setakat 6 Jun 2024, lebih daripada 30,000 pemohon individu, petani dan pekebun kecil komoditi sudah diluluskan untuk menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif BUDI MADANI.

Penerima akan disalurkan bantuan tunai pertama berjumlah RM200 pada 10 Jun 2024 melalui akaun bank penerima.

BUDI MADANI ialah usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak, terbahagi kepada bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) dan syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

Di bawah Belanjawan 2024, kerajaan komited untuk menyasarkan semula subsidi bahan api bagi mengekang penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan subsidi rakyat.

Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima BUDI Individu.

Seramai 68,000 petani, 8,000 penternak dan 34,000 pengusaha akuakultur dengan skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini