comscore
Tumpuan :
Nasional

Taufan Daniel: Dua rakyat Malaysia di Libya selamat

Antara bangunan yang musnah teruk di di Derna, Libya selepas dilanda ribut dan hujan lebat. – Foto: Reuters

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Dua rakyat Malaysia di Marsa El Brega disahkan selamat dalam kejadian banjir besar di Timur Libya akibat serangan Taufan Daniel.

Kenyataan Wisma Putra memaklumkan tiada rakyat Malaysia terjejas akibat bencana itu.

“Malaysia menzahirkan rasa simpati yang mendalam dan mengucapkan takziah kepada semua mangsa dan keluarga yang terjejas oleh Taufan Daniel tersebut.

“Setakat 14 September 2023, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat banjir yang melanda wilayah timur Libya ini,” kata kenyataan itu.

 

Susulan penutupan sementara Kedutaan Besar Malaysia di Libya sejak 2014, Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia terdekat iaitu Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

Serangan Taufan Daniel Ahad lalu, menyebabkan dua empangan di bandar Derna pecah dan mengakibatkan banjir buruk yang setakat ini meragut lebih 8,000 nyawa, manakala 10,000 lagi masih hilang.

Angka korban dijangka terus meningkat mengambil kira usaha mencari dan menyelamat masih giat dijalankan.

Artikel berkaitan: [VIDEO] 25 peratus bandar di Libya musnah, beribu-ribu maut

Loading...
Terkini