comscore
Tumpuan :
Nasional

Taufan Pulasan dijangka badai Timur China, Wisma Putra pantau situasi terkini

PETALING JAYA: Kementerian Luar (Wisma Putra) sedang memantau dengan teliti situasi terkini di Timur China susulan Taufan Pulasan dijangka membadai negara itu pada petang ini.

Menerusi satu kenyataan media, Wisma Putra memaklumkan taufan kategori 1 itu dijangka menyebabkan hujan lebat, banjir kilat dan gangguan kepada pengangkutan awam serta bekalan elektrik di kawasan terjejas.

FOTO: The New York Times

“Kementerian Luar Negeri, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai, sedang memantau dengan teliti Taufan Pulasan yang semakin menghampiri Republik Rakyat China.

“Taufan ini diklasifikasikan sebagai taufan kategori 1, dan dijangka akan melanda pada sebelah tengah hari atau petang 19 September 2024 dengan kelajuan angin sehingga 153 km sejam yang boleh menyebabkan hujan lebat dan kemungkinan banjir kilat.

“Gangguan pengangkutan dan bekalan elektrik juga dijangka akan berlaku. Setakat jam 2 petang pada 19 September 2024, Taufan Pulasan berada di Laut China Timur,” jelas Wisma Putra.

Taufan itu juga diramal bergerak mengikut laluan semasa dan mungkin melanda beberapa wilayah seperti Shanghai, Zhejiang, Jiangsu dan Anhui.

FOTO: The New York Times

Rakyat Malaysia yang berada di kawasan berkenaan dinasihatkan untuk berwaspada dan mendapatkan perkembangan terkini daripada pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan serta mengemas kini keberadaan dan maklumat mereka amat digalakkan untuk berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my,” jelas Wisma Putra lagi.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai seperti maklumat berikut:

KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI SHANGHAI
Alamat: Unit 01, Block B, 9th Floor, Dawning Centre, No. 500 Hongbaoshi Road, Changning District, 201103 Shanghai
No. Telefon: +86 21 6090 0360/ +86 21 6090 0371 Emel: [email protected]

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini