comscore
Tumpuan :
Nasional

Tawaran Ke IPT Tingkat Keyakinan Pelajar OKU

Oleh: Kumaran Rajamoney

SINTOK: 7 Orang Kurang Upaya (OKU) antara 4,067 pelajar baharu yang menerima tawaran memasuki Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi sesi 2022/2023.

Mereka yang terdiri daripada calon lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar antarabangsa akan mengikuti program pengajian di peringkat Sarjana Muda.

Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, berlaku pengurangan angka pendaftaran pelajar OKU dari 17 orang pada tahun lalu.

“Tawaran pengajian di sini dilakukan berdasarkan kelayakan, sama seperti pelajar lain. Justeru, akan ada naik turun dari segi angka pendaftaran pelajar dari kategori OKU ini.”

“Bagaimanapun, pihak kami komited dalam memastikan persekitaran universiti ini kondusif bagi kegunaan pelajar OKU,” katanya.

Bagi Anis Aqilah Za’aba, 21, yang mempunyai masalah penglihatan berkata tawaran ke universiti merupakan detik yang dinanti-nantikan.

“Saya dapat tawaran pengajian Pengurusan Pelancongan. Memang itu kursus yang saya hendakkan dari sekolah menengah dahulu. Alhamdudillah tercapai juga impian saya.”

Nur Irdina Fatini binti Rosli, 20 (OKU Autisme) pula menyifatkan tawaran pengajian Komunikasi membuka ruang kepadanya mencapai cita-cita menjadi penyampai radio pada masa hadapan.

“Meskipun saya mempunyai kekurangan, saya akan cuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran di kampus. Ini peluang saya untuk belajar berdikari dan membina persahabatan.”

Ahmad Danial Kamal Mubarak Khan, 20 yang buta sebelah mata mahu memanfaatkan tempoh pengajiannya di UUM bagi mencapai cita-citanya menjadi seorang pendidik.

“Saya dah tetapkan semangat saya, tinggal sekarang untuk belajar bersungguh-sungguh. Insyallah saya akan fokus kearah mencapai cita-cita saya.”

Untuk rekod, 47 program pengajian yang ditawarkan di peringkat Sarjana Muda.

Sesi akademik ini juga memperlihatkan kemasukan 205 pelajar antarabangsa, iaitu peningkatan 13.97 peratus berbanding kemasukan tahun lalu.

Loading...
Terkini