
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mahu melakukan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi (Telco) bagi tawaran mewujudkan
pakej pelan data yang lebih murah untuk penghantar p-hailing.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata jika kesemuanya berjalan lancar, hasil perbincangan pakej pelan data itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
“Mereka yang terlibat dalam ekonomi gig termasuklah penghantar makanan yang kita selalu sebut sebagai barisan hadapan.
“Pada masa sama, ramai tertanya-tanya apa kerajaan boleh lakukan untuk bantu lebih ramai rakan (yang hilang kerja tetap) untuk turut sama terlibat dalam bidang ini.
“Oleh itu, saya sedang bincang dengan beberapa syarikat telco untuk mencari jalan dalam membantu golongan berkenaan dengan menyediakan pakej yang lebih murah.
“Kalau semua berjalan lancar, tidak lama lagi akan kita umumkan (pakej khas),” katanya pada satu sesi pratonton tayangan eksklusif di ibu negara.
KKD dalam pada itu, akan mengadakan perbincangan dengan syarikat platform penstriman untuk meneliti undang-undang yang memberi lebih banyak peluang kepada penerbit
dan industri filem tempatan.
Katanya, ini adalah untuk memastikan platform penstriman dalam talian menghasilkan kandungan buatan dalam negara dengan peratusan tertentu.
“Kalau di Australia sedang dibincangkan perkara ini dan beberapa platform telah ada bayangan berapa peratus daripada kandungan yang wajib dihasilkan,
jadi kita sedang meneliti perkara ini kerana ia dapat memberi peluang lebih banyak kepada penerbit dan industri filem,” katanya.
Fahmi mengulas hantaran Facebook Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Datuk Jurey Latiff Rosli isu kekurangan peluang pekerjaan penggiat industri kreatif televisyen.