comscore
Tumpuan :
Nasional

Tebatan banjir perlu dilakukan untuk pengurangan risiko – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika merasmikan pelan Rejuvenasi Rakan NADMA 2030 semasa Konvensyen NADMA 2024, hari ini.

Oleh Nurul Amalina Zainudin

PUTRAJAYA: Sistem tebatan banjir perlu dilakukan lebih awal bagi mengurangkan risiko dan kesan bencana berkenaan selain dapat menjimatkan kos perbelanjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPPP), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia rentetan daripada unjuran pada tahun 2050 yang mendedahkan kebanyakan kepulauan di serata dunia, termasuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diramalkan berada di bawah paras air.

“Daripada 2024 hingga 2050 hanya tinggal beberapa tahun lagi, kita mesti fikirkan generasi akan datang bagaimana pengurangan risiko yang boleh dilakukan dari sekarang, untuk kita lakukan tebatan banjir.

“Pada tahun 2050 nanti kalau kita lakukan lakukan tebatan banjir ketika itu kos lebih daripada RM 100 bilion ringgit, ketika itu terlambat untuk kita lakukan tebatan banjir,” katanya ketika ucapan perasmian pelan Rejuvenasi Rakan NADMA 2030 semasa Konvensyen NADMA 2024, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya turut memaklumkan kabinet telah meluluskan dasar NADMA bagi pelaksanaan sistem amaran awal banjir yang dapat dijadikan panduan dalam memindahkan penduduk di kawasan terjejas lebih awal sebelum bencana berlaku, sekali gus memudahkan proses pemindahan mangsa.

Pelan Rejuvenasi Rakan NADMA 2030 dibangunkan untuk menjadi dokumen rujukan pelbagai pihak berkepentingan bagi merancang, melaksana dan memantau program-program yang dapat memberi impak positif kepada golongan rentan.

Pelan itu menggariskan tiga kumpulan kerja Rakan NADMA yang boleh dijadikan sebagai panduan supaya dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih relevan dan berkesan.

Kumpulan kerja tersebut adalah Jawatankuasa Pembangunan Kepakaran, Pembangunan Komuniti dan Penyelarasan Operasi dan Koordinasi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini