comscore
Tumpuan :
Nasional

Tegur Imigresen umpama kasih kepada anak – Anwar

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Jabatan Imigresen (JIM) tidak mengambil hati atas tegurannya yang disifatkan seperti kasih kepada anak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, teguran itu bagi penambahbaikan jabatan berkenaan susulan lonjakan kemasukan pelancong asing ke negara ini.

“Jumlah pelancongan itu mendadak naik, Malaysia jadi satu tarikan, beberapa bulan awal tahun ini dari beberapa negara sudah mencecah 80 peratus peningkatan, tentunya tekanan kepada agensi.

“Saya harap dapat diterima baik (teguran) dengan harapan kita perbaiki kerana apapun alasan pelancong tidak akan terima kalau lambat dan terpaksa menunggu sekian lama, lebih baik dia pilih negara lain, itu masalahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI, di sini hari ini.

Bagi meraikan JIM, Anwar turut menyatakan komitmen untuk menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya jabatan terbabit pada Isnin ini.

Sementara itu, dalam ucapannya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menzahirkan keyakinan bahawa beberapa pengumuman ‘game changer’ atau pengubah keadaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ia bagi memudah cara ketibaan pengembara sekali gus membanteras isu kesesakan di pintu masuk negara.

“Tekanan berterusan daripada Datuk Seri (Anwar) kepada KDN, polisi yang baik telah diumumkan, pelancong datang berbondong-bondong tetapi penyelesaian di pintu masuk masih banyak ruang untuk kita perbaiki. Kami tiada urusan lain di KDN, hampir setiap hari (memikirkan) bagaimana mengatasi isu ini.

“Kita akui ada limitasi kita tetapi tekad kami tiada benda yang tak boleh diikhtiar jalan keluar. Teguran, asakan berterusan Datuk Seri, kami tak ambil hati sebaliknya kami anggap sebagai cabaran,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini