comscore
Tumpuan :
Nasional

Teliti Implikasi Pengasingan Jawatan, Peranan Peguam Negara

KUCHING: Cadangan pengasingan jawatan dan peranan antara Peguam Negara serta pendakwa raya perlu dikaji teliti bagi mengelak sebarang implikasi susulan perubahan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata perkara itu sudah lama dibincangkan termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen dan tokoh akademik.

Bagaimanapun, katanya, pemisahan yang dicadangkan itu bukannya mudah untuk dilaksanakan walaupun banyak negara di dunia melakukannya.

“Dalam konteks Malaysia, kita perlu meminda 19 undang-undang yang wujud sekarang termasuk Perlembagaan (jika mahu pengasingan jawatan dan peranan).

“Meminda Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan undang-undang lompat parti juga memakan masa yang panjang, inikan pula 19 RUU perlu dipinda untuk membolehkan pemisahan jawatan dan peranan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Wang Deposit Pembelian Tanah Masjid Kampung Sejingkat, di sini, hari ini.

Wan Junaidi diminta mengulas tulisan saintis politik dari Sunway University, Prof Wong Chin Huat di akhbar ini kelmarin mengenai penambahbaikan institusi reformasi yang diperlukan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, apabila pemisahan dilaksanakan, ia akan membabitkan peningkatan perbelanjaan kerajaan.

“Peguam Negara perlu ada pejabat sendiri, perpustakaan sendiri dan staf sendiri.

“Jika ia berlaku, perbelanjaan kerajaan akan turut meningkat kerana perlu membuka pejabat baharu dan segala keperluan Peguam Negara. Itu yang kita perlu ambil kira,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebagai menteri, beliau menyokong sebarang perubahan yang akan dilakukan. – Berita Harian

Loading...
Terkini