comscore
Tumpuan :
Nasional

Telur ayam kotor murah tetapi bukan pilihan pengguna

Nursyzanil menunjukkan sebahagian telur kotor dibekalkan pengeluar. – FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Bekalan telur ayam kotor bukan pilihan utama pengguna, walaupun harga ditawarkan bagi setiap papan mengandungi 30 biji lebih murah daripada telur ayam biasa.

Tinjauan di beberapa syarikat pemborong mendapati, telur ayam kotor dijual antara RM11.10 sen dan RM12.60 sen sepapan mengandungi 30 biji pelbagai gred, berbanding telur ayam biasa RM12.60 sen sepapan bagi gred A, RM12.00 (B) dan gred C adalah RM11.40 sen.

Pengurus sebuah syarikat pemborong telur di Cabang Tiga di sini, Nursyzanil Adha Ramli, mengakui telur ayam kotor bukannya pilihan utama, sebaliknya pengguna lebih mengutamakan telur ayam biasa.

Katanya, walaupun kualiti isi telur kotor setanding dengan telur biasa, pilihan utama pengguna tetap telur ayam biasa.

“Punca utama pengguna termasuk peniaga kedai makan memilih telur biasa disebabkan mereka boleh menjimatkan masa kerana tidak perlu membersihkan sisa najis dan bulu ayam pada telur berkenaan.

“Kita menasihatkan pengguna terutama pengusaha kedai makan supaya bersihkan telur ayam kotor yang dibeli bagi mengelakkan berlakunya keracunan makanan,” katanya.

Nursyzanil turut menjelaskan, pemborong cuba untuk mengelak daripada menjual telur ayam kotor, tetapi terpaksa akur dengan ketetapan pengeluar.

“Kita memesan bekalan telur ayam biasa sebanyak 5,000 papan mengandungi 150,000 biji, tetapi pengeluar turut membekalkan sebanyak 600 papan mengandungi 18,000 telur kotor.

“Pengguna bagaimanapun, hanya membeli telur ayam kotor selepas mendapati telur ayam biasa kehabisan stok,” katanya.

Sementara itu, tinjauan ke sebuah kedai pemborong mendapati sebanyak 900 papan mengandungi 27,000 telur ayam biasa yang dibekalkan manakala 200 papan lagi mengandungi 6,000 telur kotor.

Pekerja di syarikat pemborong yang berpengkalan di Kota Bharu, Kelantan itu turut mengakui telur ayam biasa menjadi pilihan utama pengguna, termasuk pengusaha kedai makan.

Loading...
Terkini