Tumpuan :
Nasional

Tempoh menunggu pemindahan sel stem kini 4 hingga 6 minggu

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR: Tempoh menunggu untuk Transplan Sel Stem / Sum-sum Tulang (SCT/ BMT) di fasiliti kerajaan kini hanya antara empat hingga enam minggu, berbanding 18 bulan pada 2000.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata tempoh itu menunjukkan perkembangan baik pada 2010 dengan pesakit perlu menunggu antara enam hingga lapan bulan bagi prosedur terbabit.

“Pesakit cuma perlu membayar RM500 manakala warga emas RM250 bagi kos rawatan antara RM20,000 hingga RM80,000 yang ditanggung kerajaan.

“Ia jauh lebih murah berbanding perkhidmatan di fasiliti swasta yang boleh mencecah hingga RM120,000.

“Empat fasiliti mengendalikan kes SCT/BMT iaitu Hospital Ampang, Hosptital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah (Johor) dan Hospital Queen Elizabeth 1 (Sabah) yang mampu memberi penjagaan untuk pesakit hemotologi.

“Pesakit boleh membuat rawatan susulan di hospital negeri dengan hanya kes kompleks dirujuk di hospital utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan ST/BMT di Auditorium Hospital Ampang di sini, hari ini.

KKM juga menjamin kesaksamaan dalam penjagaan kesihatan orang ramai yang mendapatkan rawatan SCT/BMT di semua hospital kendaliannya.
Dalam tempoh 25 tahun kebelakangan ini, Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 3,967 kes SCT/BMT dilaksanakan sehingga Oktober lalu berbanding hanya enam kes pada 1999.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 3,259 kes atau lebih 80 peratus dikendalikan Hospital Ampang selaku peneraju utama penyediaan rawatan dengan purata 200 kes setiap tahun.

“Ia diikuti Hospital Pulau Pinang dengan 384 kes, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (260 kes) serta 64 kes di Hospital Queen Elizabeth 1.

“Dalam tempoh 10 tahun lalu, purata 250 prosedur rawatan SCT dijalankan setiap tahun atau 1.06 kes setiap hari bekerja,” katanya.

Bermula Mac depan, katanya, Hospital Umum Sarawak di Kuching akan menjadi fasiliti kelima menyediakan perkhidmatan itu.

“Di hospital itu kelak akan ditempatkan empat atau lima pakar hematologi untuk mengendalikan kes SCT bagi Sarawak dan sekitarnya.

“Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan menyusul sebagai yang keenam menjadi pusat SCT/BMT.

“Sehubungan itu, KKM komited menambah baik infrastruktur sedia ada, meningkatkan kemahiran sumber manusia dan memanfaatkan teknologi perubatan terbaharu,” katanya.

Selain menambah bilangan hospital, beliau berkata, KKM juga berusaha meningkatkan bilangan pakar hematologi terlatih di seluruh negara kepada 50 orang tahun depan.

“Pada masa hadapan, kawasan utama di negara ini akan mendapat liputan iaitu Lembah Klang, Utara, Selatan, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

“Kita turut mengemas kini ‘Garis Panduan Kebangsaan untuk Terapi Sel Stem Hematopoietik (HSCT)’ dalam memperkukuh kriteria akreditasi bagi pusat rawatan SCT,” katanya.

Dalam usaha menambah baik perkhidmatan SCT di negara ini, beliau berkata, semua pusat rawatan HSCT perlu mendapatkan akreditasi KKM kerana prosedurnya berisiko tinggi.

“Saya mahu KKM menyokong pusat rawatan SCT sedia ada dan yang dalam perancangan supaya pesakit tidak perlu membuat perjalanan jauh untuk mendapat rawatan,” ujarnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini