comscore
Tumpuan :
Nasional

Tempoh mohon lesen perniagaan risiko rendah hanya 24 jam bermula tahun depan – Kor Ming

Foto hiasan

PETALING JAYA: Permohonan lesen perniagaan yang dianggap berisiko rendah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi mengambil masa yang lama, sebaliknya ia akan diproses dalam tempoh 24 jam bermula tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, lesen berisiko rendah antara lain termasuklah premis medan selera dan kedai serbaneka.

“Ini selaras dengan visi Perdana Menteri untuk memudahkan urusan perniagaan. Lesen dibahagikan kepada dua kategori iaitu berisiko rendah dan berisiko tinggi.

“Lesen berisiko rendah merangkumi perniagaan kecil seperti kedai serbaneka dan gerai makanan, yang mana kita sudah menetapkan tempoh pemprosesan yang cepat. Permohonan yang dihantar pada waktu pagi boleh diluluskan pada sebelah petang atau dalam tempoh 24 jam.

“Ini adalah sebahagian daripada transformasi digital yang sedang dijalankan oleh kementerian untuk mewujudkan pusat sehenti bagi urusan pelesenan.

“Pemohon boleh menyemak dokumen mereka secara dalam talian dan jika semuanya lengkap, mereka boleh mencetak lesen pada sebelah petang.

“Transformasi digital dalam pihak berkuasa tempatan amat penting bagi memastikan permohonan lesen dapat diluluskan dalam masa sehari mulai tahun depan,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2024 di sini, hari ini.

Sebelum ini, tempoh untuk peniaga yang ingin memohon lesen perlu menunggu antara tujuh hingga 14 hari daripada tarikh permohonan untuk PBT mengeluarkan lesen premis dan papan tanda.

Sementara lesen untuk perniagaan berisiko tinggi seperti kelab malam, rumah mayat, bilik bedah haiwan serta yang memerlukan pemeriksaan tambahan akan mengambil masa sehingga 30 hari.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata tempoh untuk perniagaan berisiko tinggi turut dipendekkan kepada 14 hari, dengan syarat semua keperluan sudah dipenuhi.

“Bagi kelulusan pembangunan, yang amat penting, matlamat kami adalah untuk mempercepatkan proses supaya setanding atau melebihi negara jiran.

“Selain itu kita turut mempermudahkan pemohon dengan mengurangkan bilangan dokumen yang diperlukan kepada empat jenis dokumen sahaja dan kami menyisihkan dokumentasi secara manual dan surat-menyurat iaitu ulasan dan penilaian teknikal semasa atau selepas lawatan tapak dilaksanakan secara dalam talian.

“Di samping itu, kementerian kini bergerak ke arah mentransformasikan pengurusan hal ehwal pelesenan oleh Bahagian Pelesenan PBT dan Jabatan/ Agensi Teknikal untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan permohonan lesen serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan,” ujarnya.

Jelasnya, garis panduan dan Sistem Garis Panduan Sistem Pusat Memudahcara Pelaksanaan (OSC) Pelesenan diwujudkan berlandaskan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang akan diguna pakai oleh semua PBT di Semenanjung Malaysia dahulu dan akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak kemudian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini