PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) akan melaksanakan kaedah pusingan kerja termasuk memendekkan tempoh tugasan di tempat sensitif secara berterusan sebagai langkah menangani isu salah laku di pintu masuk negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sekiranya terdapat pegawai yang didapati tidak sesuai bertugas di pintu masuk, pertukaran akan dilaksanakan.
Menurutnya, JIM juga tidak mahu seorang pegawai itu berada terlalu lama di tempat sensitif yang mana tempohnya tidak lebih tiga tahun atau dipendekkan sehingga setahun jika ada keperluan berbanding lima tahun sebelum ini.
“Kita buat pusingan kerja secara berterusan termasuklah di pintu masuk utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Kompleks Sultan Abu Bakar, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen di sini, hari ini.
Datuk Ruslin berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan pegawai yang melanggar akta, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) termasuk arahan tetap Ketua Pengarah.
Menurutnya, ia bagi memastikan pegawai yang berada di pintu masuk adalah berintegriti.
Dalam pada itu beliau berkata, JIM menyokong sepenuhnya tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawai Imigresen berhubung isu rasuah sindiket membawa masuk warga asing di KLIA.
“Kita serahkan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk tindakan (siasatan) mereka,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Datuk Ruslin berkata, sejak Januari hingga 6 September lalu, JIM sudah melaksanakan 13,833 operasi.
“Seramai 119,270 warga asing diperiksa dan 32,445 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan atas pelbagai kesalahan seperti tinggal lebih masa, tiada dokumen serta salah guna pas.
“Turut ditahan 1,087 majikan kerana menggaji dan melindungi Pati,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.