Tumpuan :
Nasional

Temu bual CNN diambil di luar konteks – PM

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menafikan dakwaan bahawa kenyataannya dalam wawancara bersama wartawan CNN, Richard Quest, seolah-olah mengiktiraf kewujudan Israel, dengan menegaskan ia telah diambil di luar konteks.

Menurut Anwar, meskipun ada pihak yang kurang senang dengan pilihan kata-katanya, isu itu tidak wajar diperpanjangkan.

“Saya telah ditemubual oleh banyak media antarabangsa seperti CNN, Al-Jazeera, dan Bloomberg. Jika ada satu dua bahagian yang diambil di luar konteks, saya tidak mahu berbalah mengenai hal itu.

“Ini bukan isu politik biasa tetapi hasil daripada keyakinan dan perjuangan kita selama puluhan tahun,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang meminta penjelasan mengenai video tular berdurasi 30 saat yang mendakwa Anwar mengiktiraf hak Israel untuk wujud dan mempertahankan diri.

Anwar menjelaskan bahawa pertanyaan wartawan berkisar kepada hak negara di bawah prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Dia bertanya, dalam konteks PBB, adakah negara yang diserang berhak mempertahankan diri. Itu konteksnya, bukan bermakna kita menyokong tindakan barbarik dan zalim Israel yang jelas bertentangan dengan prinsip kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pendiriannya terhadap kezaliman rejim Zionis kekal konsisten dan menjelaskan kenyataannya telah disalah tafsir untuk kepentingan politik pihak tertentu.

“Saya sudah beri penjelasan yang cukup. Isu ini sengaja dimanipulasi untuk mencari keuntungan politik,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Anwar berkata, penting untuk memahami kenyataannya dalam konteks sebenar tanpa membuat tafsiran yang salah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini