Tumpuan :
Nasional

Tenaga pengajar seni mempertahankan diri direman, cabul kanak-kanak perempuan

Foto hiasan

SHAH ALAM: Seorang tenaga pengajar sebuah pusat seni mempertahankan diri di sini, ditahan polis kerana disyaki mencabul kanak-kanak bawah umur.

Lelaki berusia 20 tahun itu ditahan di sebuah pusat beli belah di sini pada jam 4 petang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek ditahan selepas laporan pertama dibuat oleh ibu seorang kanak-kanak pada jam 1.53 petang, hari sama.

Katanya, lelaki itu yang juga seorang pelajar sebuah kolej swasta di Lembah Klang dan sudah menjadi tenaga pengajar seni mempertahankan diri selama setahun.

“Mangsa pertama adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun yang dicabul oleh suspek semasa berada di dalam tandas di pusat mempertahankan diri berkenaan.

“Setakat ini pihak polis menerima empat laporan polis berkaitan dengan kejadian yang sama yang membabitkan mangsa yang berbeza.

“Siasatan lanjut mendapati kesemua mangsa adalah kanak-kanak perempuan yang berumur di antara 7 hingga 9 tahun dan kejadian dikatakan berlaku sekitar September hingga Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Loading...
Terkini