comscore
Tumpuan :
Nasional

Tengku Permaisuri Selangor titah PBT kaji kaedah baharu tangani haiwan terbiar, henti “catch and kill” 

PETALING JAYA: Tengku Permaisuri Selangor menitahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) perinci semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam mengurangkan bilangan haiwan-haiwan terbiar.

Seri Paduka juga turut menzahirkan kedukacitaan mengenai operasi penangkapan anjing berkeliaran di negeri Selangor khususnya termasuk yang tular membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Baginda dalam satu kenyataan melalui hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini, mahu PBT membendung masalah haiwan terbiar dengan menggunakan kaedah lain berbanding menggunakan pendekatan ‘catch and kill’ atau tangkap dan lupus.

“Saya percaya banyak lagi kaedah lain yang boleh digunapakai untuk membendung masalah ini termasuk pemandulan (neuter).

“Saya pernah mencadangkan sebelum ini agar usaha-usaha memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan-haiwan terbiar ini dipergiat, menerusi kempen Create Caring and Compassionate Communities (CCC),” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office.

Kempen CCC antaranya menggariskan beberapa inisiatif utama melibatkan kerjasama di antara PBT dengan SPCA dalam mengendalikan sesi-sesi Responsible Pet Ownerships (RPO) bersama penduduk.

Termasuk mendapatkan khidmat nasihat dan pemantauan daripada SPCA dan NGO sekiranya wujud keperluan untuk melupuskan haiwan-haiwan terbiar ini di atas sebab kesihatan atau sebagainya.

Tengku Permaisuri Selangor turut mencadangkan selain daripada program pemandulan haiwan yang lebih meluas, PBT boleh mewujudkan rumah perlindungan haiwan terbiar bagi setiap taman perumahan dengan kerjasama penduduk-penduduk yang sayangkan haiwan selain mewajibkan pemaju perumahan untuk membina atau menyediakan pusat perlindungan seumpamanya.

Menurut Istana Alam Shah, SPCA Selangor Bersama Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia, Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dan Persatuan Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) giat mengadakan program pemandulan kucing dan anjing, “Potong-Royong”.

Sejak dimulakan pada Mac 2023, sejumlah 1,626 ekor haiwan telah dimandulkan menerusi program ini, sebagai usaha mengurangkan populasi haiwan terbiar.

Kenyataan itu turut menyebut Tengku Permaisuri Selangor menitahkan pihak berwajib meneliti semula Pekeliling Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bilangan 5 Tahun 2014 mengenai Tatacara Operasi Piawaian (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan agar lebih relevan dengan situasi semasa.

Baginda turut berharap agar usaha menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini