comscore
Tumpuan :
Nasional

Tengku Zafrul di Qatar, tak hadir Mesyuarat Khas Kabinet

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

PUTRAJAYA: Hanya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tidak menghadiri mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan hari ini.

Perkara itu disahkan pegawai Pejabat Perdana Menteri yang memaklumkan menteri berkenaan mempunyai urusan di Qatar.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan urusan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra di sini, tiga hari selepas senarai anggota Jemaah Menteri diumumkan Jumaat lalu.

Barisan Kabinet dianggotai 28 menteri serta dua timbalan perdana menteri, selain Anwar sendiri memegang portfolio Menteri Kewangan.

Mesyuarat pertama yang dihadiri Jemaah Menteri kecuali Tengku Zafrul itu bermula jam 10 pagi.

Anwar tiba di bangunan Perdana Putra itu pada kira-kira 8.10 pagi sebelum mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan.

Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu, hampir seminggu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan tiada mana-mana parti politik mahupun gabungan berjaya memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Kebanyakan menteri Kabinet telah mengimbas kad perakam waktu dan memasuki pejabat masing-masing sebelum menghadiri mesyuarat berkenaan.

Tengku Zafrul hadir ke pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Sabtu lalu dan mengimbas kad perakam waktu buat kali pertama sebagai menteri pada jam 6.07 petang.

Sebagai Menteri MITI, beliau dilaporkan berkata akan memastikan Malaysia terus menjadi destinasi penting dalam pelaburan selain menjadikan negara ini berdaya saing bagi pelabur.

“Saya percaya tugas ini telah menjadi tugas besar, namun pada masa hadapan, kita perlu memastikan Malaysia terus meraih momentum bagi memastikan kita menarik pelaburan utama, terutama dalam bidang yang memberikan nilai kepada negara,” katanya.

Terdahulu pada Sabtu, beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bersama-sama dua Timbalan Perdana Menteri dan 24 menteri Kabinet di Istana Negara.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang kukuh selama empat suku.

Loading...
Terkini