comscore
Tumpuan :
Nasional

Tengku Zafrul sedia perjelas isu Jana Wibawa

Hantaran Instagram Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata beliau tidak mempunyai sebarang perkara yang hendak disembunyikan berhubung dana membabitkan bantuan rangsangan COVID-19 Jana Wibawa

Justeru, beliau bersedia untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dana projek itu yang sedang dijalankan.

“Ada media tanya saya mengenai Jana Wibawa. Tiada apa yang perlu disembunyikan dan saya sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Mengulas lanjut, Tan Sri Muhyiddin berkata, ada kemungkinan bekas Menteri Kewangan itu akan turut dipanggil SPRM untuk memberi keterangan, memandangkan proses perolehan berkenaan ditentukan sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan (MoF) ketika itu.

“Untuk mereka (SPRM) tahu lebih lanjut, akan panggil Tengku Zafrul. Itu terserah kepada mereka. Jadi maknanya, itu saja spesifik berkenaan Jana Wibawa, tiada kena dengan (tuduhan) RM600 bilion, RM570 bilion, RM85 bilion atau RM4.5 bilion.

“Hal ini semua kita tahu, ia adalah tuduhan serius. Saya tidak terbabit. Saya bukan orang yang meluluskan. Saya tidak kenal siapa. Mereka (MoF) yang mempertimbang. Itu yang saya sudah jelaskan kepada SPRM,” katanya.

Tambah Tan Sri Muhyiddin, Jana Wibawa adalah projek diusahakan MoF yang dicadangkan oleh Tengku Zafrul ketika itu bagi membantu kontraktor Bumiputera yang terkesan teruk dengan pandemik COVID-19. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini