comscore
Tumpuan :
Nasional

Tentera Darat bina rumah buat tiga Orang Asli Gombak

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain ketika menyempurnakan PJM TDM 2022. – FOTO: Facebook/ Tentera Darat Malaysia

KUALA LUMPUR: Tiga penduduk Orang Asli Batu 12, Gombak di sini masing-masing menerima kunci rumah baharu mereka yang siap dibina Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Program Jiwa Murni (PJM) TDM 2022.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata projek pembinaan yang mengambil masa hampir tiga bulan itu hasil peruntukan kewangan sebanyak RM99,000 daripada syarikat QSR Brands (M) Holdings Bhd dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Pada mulanya, rumah ketiga-tiga penerima ini hanya dirancang untuk dibaik pulih setelah dipilih Jabatan Kemajuan Orang Asli Selangor. Bagaimanapun, pemeriksaan pasukan Skuadron Kedua Rejimen Askar Jurutera Diraja selaku pembina mendapati ia terlalu uzur dan perlu dibina baharu,” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis serah kunci rumah berkenaan di sini hari ini.

Justeru, katanya projek bina ketiga-tiga rumah baharu tersebut dimulakan pada 20 Jun dan siap sepenuhnya pada 18 Sept lepas.

Zamrose berkata dengan kejayaan program tersebut, ia menjadikan 219 projek PJM sedang dan telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara sebagai antara insiatif TDM bersama komuniti setempat.

Menurutnya selain projek bina rumah baharu, TDM turut menjalankan kerja baik pulih rumah, selenggara jalan dan perparitan, baik pulih rumah-rumah ibadat, sekolah serta selenggara kawasan tanah perkuburan Islam di seluruh negara.

Sementara itu, seorang penerima bantuan PJM Amek Pedik, 65, berkata permohonannya untuk mendapatkan sebuah rumah baharu selama ini, akhirnya menjadi kenyataan apabila terpilih untuk projek berkenaan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan ini. Kini, kehidupan saya insya-Allah akan lebih selesa,” kata wanita warga emas itu yang juga penerima bantuan Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM400 sebulan. – BERNAMA

Loading...
Terkini