RANTAU PANJANG: Sebanyak 169 pangkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan perlu diberi perhatian serius dengan menerapkan sistem pendigitalan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi menangani isu sempadan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, turut meminta supaya pemasangan CCTV dipercepatkan.
“Menerusi perbincangan saya dengan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat memaklumkan terdapat 169 pangkalan haram di kawasan sempadan yang perlu diberi perhatian serius.
“Saya menyeru Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Polis Kelantan supaya terapkan sistem pendigitan dalam tangani isu sempadan.
“Pada masa sama, saya menyeru supaya isu pemasangan CCTV diselesaikan dengan segera. Kita perlu teroka sistem pendigitalan sebagaimana yang disaran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggunakan teknologi kecerdasan buaran (AI) sebagai pemudah cara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pengoperasian Rintis AKPS di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.