
JASIN: Seorang pekerja kontrak Farmasi Hospital Melaka maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pokok.
Kejadian berlaku di Jalan Tehel-Bukit Katil selepas mangsa, Rasli Othman diserang sakit jantung.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, kejadian 2.50 petang itu berlaku ketika mangsa, 75, dalam perjalanan dari Bukit Katil menghala ke Tehel.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa yang menaiki kereta Nissan Almera terlibat dalam kemalangan di jalan selekoh kawasan kampung.
“Apabila sampai di lokasi, mangsa dipercayai mengalami serangan jantung hingga gagal mengawal kereta lalu berpusing dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat.
Difahamkan mangsa ada mengadu sakit dada minggu lalu, namun sakit itu sudah hilang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan nahas diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.