comscore
Tumpuan :
Nasional

Terdapat Aduan Salah Guna Kuasa, Rasuah Dalam Kalangan JPKK – SPRM

Foto: Berita Harian (BH)

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan terdapat aduan dan maklumat yang diterima melibatkan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Razim Mohd Nor berkata perkara ini dipandang serius oleh pihaknya bagi memastikan institusi kampung sentiasa terpelihara dan bebas daripada sebarang perlaku jenayah rasuah khususnya yang membabitkan kepentingan masyarakat setempat.

“Berdasarkan data dan statistik memang terdapat maklumat dan aduan yang diterima oleh SPRM berhubung rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam kalangan pengerusi JPKK atau ketua kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Antirasuah dan Tadbir Urus Dana Kerajaan Dalam Kalangan JPKK Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang Datuk Abd Aziz Mat Kiram mewakili Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Misalnya di Pahang, Razim berkata sebanyak 21 maklumat dan aduan melibatkan JPKK telah diterima dalam tempoh lima tahun bermula 2018 merangkumi 14 maklumat salah guna kuasa, enam menerima rasuah dan satu tuntutan palsu.

Katanya daripada jumlah itu satu kes telah dituduh di mahkamah, dua kes masih dalam siasatan, lima kes menerima surat untuk memperbaiki kelemahan prosedur JPKK, manakala 13 kes tiada tindakan lanjut.

Menyentuh mengenai program yang dihadiri lebih 200 peserta dari Kuantan, Maran, Rompin dan Pekan itu, beliau berkata ia bertujuan memberi pengetahuan dan kesedaran mengenai fungsi SPRM, kesalahan rasuah serta tanggungjawab JPKK dalam menangani isu rasuah setempat.

Menurutnya JPKK adalah benteng terakhir yang akan memastikan tidak berlaku sebarang kebocoran terhadap peruntukan yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk rakyat sama ada pembangunan fizikal, kecemasan, kebajikan dan sosial. – BERNAMA

Loading...
Terkini