comscore
Tumpuan :
Nasional

Terengganu putuskan kepercayaan, ajaran GISBH sesat

Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron.

KUALA TERENGGANU: Terengganu mengikut jejak Perlis apabila memutuskan untuk menfatwakan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai sesat.

Mengesahkan perkara itu, Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu akan mengeluarkan fatwa itu berdasarkan bukti-bukti jelas.

“Kita akan fatwakan GISBH sebagai sesat berdasarkan bukti-bukti yang jelas.

“Namun biasanya Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan putuskan lebih dahulu sebelum dibawa ke negeri masing-masing.

“Apabila sudah ada bukti-bukti kukuh dibentangkan oleh pihak-pihak tertentu berautoriti berkaitan GISBH, maka sudah tentu akan juga difatwakan sesat tanpa perlu was-was lagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis sebelum ini memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah sekali gus menjadi negeri pertama berbuat demikian.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan berkata, fatwa dikeluarkan selepas menerima bukti meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan organisasi berkenaan sesat.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabri berkata gerakan GISBH tidak begitu ketara di Terengganu ketika ini namun pihaknya tetap memandang serius isu berkenaan.

“Di Terengganu, gerakan ini tidak begitu ketara dan tidak ada aduan serius untuk dibawa ke fatwa peringkat negeri.

“Apabila ada aduan serius di peringkat kebangsaan, maka biasanya ia akan dibincangkan di peringkat MKI terlebih dahulu sebelum diputuskan oleh setiap negeri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini