comscore
Tumpuan :
Nasional

Terengganu sentiasa siap siaga hadapi MTL

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri masih lagi mengekalkan arahan kepada semua agensi kerajaan supaya bersiap siaga sehingga berakhirnya monsun timur laut (MTL) yang dijangka berakhir pada Mac depan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu (JBNT) Hanafiah Mat berkata, semua agensi dibawanya sudah sedia maklum dengan situasi MTL yang diputuskan berakhir pada Mac ini.

“Kita masih bersiap sedia menghadapi MTL dan ketika ini, kebanyakan daerah di Terengganu mengalami hujan seperti amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“MetMalaysia meramalkan bahawa gelombang ketiga yang bermula 27 Januari dijangka berakhir pada 31 Januari ini dengan Kemaman dijangka akan menerima hujan yang lebat antara 30 dan 31 Januari manakala hampir seluruh negeri Terengganu akan mengalami hujan renyai-renyai.

“Jadi, semua agensi kerajaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) iaitu badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Terengganu sentiasa bersiap siaga termasuk memindahkan mangsa sekiranya banjir berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hanafiah yang juga yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu turut berharap kesiapsiagaan semua agensi kerajaan termasuk NGO dan sukarelawan-sukarelawan yang berada di seluruh Terengganu dikekalkan.

“Kita menjangkakan bahawa gelombang ini tidak terlalu teruk atau hujan yang turun ini bukan hujan ekstrem sebagaimana yang kita alami pada Disember lalu,” katanya.

Tambah Hanafiah lagi, JBNT turut mengambil langkah menambah bekalan barang-barang keperluan harian dan khemah di kawasan yang berisiko sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gelombang ketiga banjir.

“Langkah itu bagi mengelak isu kelewatan dan kekurangan bekalan yang berlaku di beberapa kawasan sebelum ini susulan banjir yang berlaku serentak di seluruh daerah di Terengganu.

“Kita sudah mengenal pasti beberapa kawasan yang berisiko dilanda banjir serta kemungkinan berlaku peningkatan mangsa secara mendadak jika bencana itu berulang lagi,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini