comscore
Tumpuan :
Nasional

Terengganu tidak bincang cadangan hukuman sebat di khalayak – Azalina

HULU SELANGOR: Tiada sebarang perbincangan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan pelaksanaan hukuman sebat bagi kesalahan syariah di khalayak atau tempat awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata cadangan berkenaan tidak mudah untuk dilaksanakan kerana pengurusan kes jenayah syariah turut melibatkan bantuan daripada agensi pusat antaranya polis bagi tujuan penahanan dan Jabatan Penjara untuk pemenjaraan.

“Negeri ada polis sendiri? Penjara sendiri? Siapa sebat?… Nak hukum orang pun banyak undang-undang di bawah agensi kerajaan pusat. Jadi, perlu lihat secara menyeluruh bukan sekadar cakap tapi tidak tahu siapa pelaksananya…jadi macam-macam pertikaian.

“Kalau nak laksana pun, perlu pindaan menyeluruh kepada undang-undang sedia ada termasuk kuasa di peringkat kerajaan negeri kerana kita negara merdeka, ada akta dan perlembagaan, ada senarai bidang kuasa kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke bangunan Mahkamah Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Azalina mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi semalam mengenai kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan pelaksanaan hukuman sebat bagi kesalahan syariah di khalayak dan ia sebagai usaha memperkasa pelaksanaan undang-undang syariah Islam di negeri itu.

Sementara itu menyentuh mengenai lawatannya, Azalina berkata beliau telah diberi penerangan mengenai pembinaan bangunan baharu Mahkamah Seksyen Sivil di sini yang dijadual siap Jun ini.

“Kita juga hari ini berbincang untuk mengaplikasikan penggunaan teknologi dan perisian terkini bagi melancarkan proses di premis mahkamah.

“Kita perlu fokus pada 2025, (dan) dalam belanjawan (kita) kena tengok soal latihan dan penggunaan teknologi kerana negara maju dah mula guna jurubahasa AI (kecerdasan buatan),” katanya.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini