comscore
Tumpuan :
Nasional

Teresa Kok tiba di Bukit Aman untuk beri keterangan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tiba di Bukit Aman, di sini, untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya berkait isu sijil halal hari ini.

Beliau tiba di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu jam 9.42 pagi dan masuk bersama peguam Syahredzan Johan pada jam 9.45 pagi.

Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, Teresa hadir untuk memberi keterangan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Terdapat beberapa saksi lain yang akan dipanggil antaranya pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan ditentukan kemudian.

Terdahulu Harian Metro melaporkan polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Razarudin berkata, prosedur operasi standard (SOP) siasatan babit 3R (bangsa, agama dan institusi raja) akan dijalankan setelah laporan polis diterima.

Menurutnya, laporan yang diterima polis ini berikutan rasa ketidakpuasan hati individu termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Razarudin berkata, walaupun kebebasan memberikan pendapat itu dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan namun terdapat had yang perlu dipatuhi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang akhirnya boleh mencetuskan kegentaran awam dan mengapi-apikan antara kaum.

Sebelum ini Teresa dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Menurutnya, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini