Tumpuan :
Nasional

Terima aduan tertinggi, bukti kepercayaan rakyat kepada KPDN laksana tugas

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima jumlah aduan tertinggi dalam sejarah sejak pelancaran inisiatif KITA Gempur pada 19 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pihaknya menerima hampir 46,000 aduan pada tahun ini iaitu kenaikan 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Sejak pengumuman (inisiatif KITA Gempur) oleh Perdana Menteri, aduan kami di KPDN naik sehingga 23 peratus, ini bermakna kami telah terima maklumat bukan sahaja daripada pegawai kami sendiri, malah orang ramai juga mula memberikan kerjasama dan sokongan terhadap usaha kerajaan.

“Ini mewujudkan perhubungan baik antara rakyat dan pihak berkuasa dan kami menghargai kepercayaan diberikan kepada KPDN untuk terus melakukan tugas bagi memastikan aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras,” katanya pada temu bual bersama Buletin TV3 dan Berita Harian (BH).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober lalu melancarkan inisiatif KITA Gempur bertujuan membanteras ketirisan dan manipulasi yang menjejaskan ekonomi rakyat khususnya dalam aspek kos sara hidup.

Mengulas lanjut, Azman berkata, inisiatif tersebut menyasarkan kepada kebersamaan pelbagai pemegang taruh meliputi agensi Kerajaan (K), pemain industri (I), pematuhan Tatakelola (T) dan partisipasi Awam (A).

Jelasnya, menerusi pembabitan daripada kerajaan, KPDN memberi tumpuan kepada kerjasama lebih baik dan lebih strategik bersama agensi penguatkuasaan lain.

“Ini julung kali kami membabitkan pihak industri dalam konteks penguatkuasaan, sebagai contoh, dalam konteks penyelewengan minyak dan bahan-bahan petroleum.

“Syarikat minyak perlu bertanggungjawab, sekiranya ada salah laku dalam kalangan pengusaha stesen minyak mereka, kami akan ambil tindakan ke atas stesen minyak dan juga syarikat minyak itu sendiri.

“Sebab itu kami menggalakkan supaya sebelum kami ambil tindakan ke atas mereka, adalah baik mereka beri kerjasama kepada pihak berkuasa,” katanya.

Bagi aspek tatakelola pula, pemain industri perlu mengambil tanggungjawab dengan mengenal pasti pembeli dan rantaian pengedaran produk mereka.

Menurut Azman, pihaknya tidak mahu bekalan tersebut tidak sampai kepada rakyat sedangkan kerajaan memperuntukkan subsidi yang sangat besar kepada komoditi seperti minyak masak.

“Bayangkan setiap bulan kerajaan belanjakan (subsidi) untuk 60 juta kilogram minyak masak peket dan seharusnya sampai ke tangan rakyat kita, tetapi kenapa masih ada lagi kawasan tertentu alami kesukaran untuk mendapatkan bekalan.

“Orang awam juga perlu sokong usaha kerajaan, jangan kita terbabit atau bersekongkol (dengan sindiket). Agensi penguatkuasaan selalu dihantui oleh pihak yang memberikan maklumat kepada pihak yang menyeleweng, kadang-kadang mereka jadi tonto.

“Jadi inilah orang-orang yang perlu berubah, mereka sepatutnya jadi warganegara lebih bertanggungjawab, banteras aktiviti yang boleh sabotaj ekonomi kita,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, inisiatif KITA Gempur hampir menunjukkan kejayaan yang signifikan dalam membanteras manipulasi, kartel dan penyelewengan.

“Sebagai rakyat Malaysia, sepatutnya kita merasai kewajipan bahawa hasil negara, wang negara, subsidi yang begitu besar untuk rakyat, sepatutnya adalah untuk negara kita,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini