comscore
Tumpuan :
Nasional

Terima ‘ang pow’ atau sampul wang ketika bertugas, satu kesalahan serius – KPN 

Foto hiasan

 

SUBANG: Mana-mana pegawai polis yang menerima ‘ang pow’ atau sampul wang semasa bertugas adalah satu kesalahan.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kejadian penemuan sejumlah wang dalam ang pow di Balai Polis Setapak, adalah salah satu kesalahan yang serius.

Katanya tindakan menerima sebarang bentuk wang atau imbuhan semasa bekerja adalah salah kerana ianya boleh dipersoalkan serta dikaitkan dengan elemen rasuah.

FOTO: NSTP

“Saya puji tindakan pihak Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, yang menjalankan pemeriksaan terhadap anggota Balai Polis dalam daerah Wangsa Maju itu.

“Ini jelas menunjukkan saranan saya yang dibuat pada 1 Februari lalu, telah mula membuka mata semua pegawai dan anggota yang berada pada peringkat penyelia,” katanya dalam sidang media di Persada PLUS, di sini,pagi  tadi.

“Jadi dalam kes ini (Balai Setapak) penyelia yang bertugas di Balai Polis berkenaan tidak menjalankan tugas seperti yang disarankan.

“Penyelia yang baik akan buat pemeriksaan dan bukannya ada penemuan ang pow,” katanya.

Beliau berkata seperti yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) penugasan, setiap penyelia perlu memeriksa buku poket anggotanya serta jumlah wang saku tidak boleh melebihi RM100.

“Saya nak beri satu contoh, sekiranya anggota terbabit mengisytiharkan jumlah wang sakunya berjumlah RM100 semasa keluar bertugas, namun apabila dia kembali ke Balai Polis dan didapati mempunyai RM400, kerana telah mengeluarkan wang pada hari gajinya dari bank semasa dalam perjalanan kembali ke balai, ianya tidak mempunyai kesalahan selagi dia mampu menunjukkan bukti resit pengeluaran.

“Kalau ada anggota polis yang sedang bercuti dan meraikan Tahun Baharu Cina di rumah rakannya dan dia diberi ang pow maka itu adalah dalam situasi lain dan dia tidak bekerja,” katanya.

Dalam kejadian 5 Februari lalu, seorang anggota polis berpangkat Sarjan dikenakan tindakan Kertas Enkuiri Polis (KEP) selepas dikesan menyembunyikan sampul ang pow dalam beg dan lokarnya berjumlah RM6,289 semasa serbuan oleh JIPS Bukit Aman.

Justeru, Razarudin sekali lagi menegaskan supaya semua pegawai dan amggota polis terus memainkan peranan mereka sebagai penyelia dalam memastikan perkhidmatan kepolisan yang dijalankan dibuat dengan jujur dan amanah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini