comscore
Tumpuan :
Nasional

Terima dengan hati terbuka, beri peluang kerajaan berkhidmat tanpa gangguan

Veteran politik (dari kiri) Tan Sri Syed Hamid Albar, Datuk Ahmad Kassim dan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Usaha mewujudkan kestabilan politik dalam negara bagi memastikan kerajaan boleh berfungsi tanpa gangguan, memerlukan pengorbanan besar, baik dari kalangan pemimpin dan ahli semua parti politik, mahu pun rakyat kebanyakan.

Veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah melakukan pengorbanan apabila terpaksa membentuk Kabinet yang pastinya bukan 100 peratus atas kehendak beliau, sebaliknya melalui kompromi.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, pengorbanan di pihak rakyat pula adalah mereka perlu menerima dengan hati terbuka pembentukan Kabinet yang mungkin dilihat sebagai bukan barisan terbaik.

“Ia mungkin bukan Kabinet terbaik dan saya akui bukan semua yang ada dalam Kabinet adalah yang terbaik. Namun ada alasan tertentu mengapa mereka ada di situ, ada nama tidak patut ada, tetapi ada dan petandanya adalah kompromi dilakukan sebagai penyelesaian supaya sistem pentadbiran dapat diteruskan.

“Beberapa nama perlu ada dalam barisan itu demi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat ditubuhkan selaras kehendak Yang di-Pertuan Agong. Sudah tiba masa semua pihak bergerak ke depan. Beri peluang kepada kerajaan berkhidmat dalam suasana ekonomi yang diramal lebih mencabar tahun hadapan.

“Perdana Menteri sendiri pastinya berada dalam situasi sukar, namun beliau terpaksa menampungnya bagi memastikan Kabinet dapat dibentuk. Saya pasti pelantikan itu akan berbeza jika ia berlaku dalam keadaan berlainan,” katanya kepada BH, hari ini.

Bagi mengelakkan krisis politik negara yang sudah empat tahun berada dalam keadaan tidak stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berpanjangan, bekas Menteri Luar itu berkata, semua pihak perlu bergerak ke hadapan lupakan politik dan fokus kepada kestabilan negara serta pemulihan ekonomi.

Syed Hamid mengulas polemik pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa berikutan kaitan dengan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang masih menunggu keputusan mahkamah.

Katanya, beliau yakin Ahmad Zahid pastinya tahu berhubung kedudukannya dalam kerajaan di bawah pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang boleh berubah mengikut perjalanan kes mahkamah dihadapi Pengerusi BN itu.

“Kita jangan terlampau cepat membuat hukuman, dengan perkembangan keadaan semasa ini, kita perlu berdoa semuanya berjalan baik, lupakan politik dan terima pengorbanan ini,” katanya.

Seorang lagi veteran politik, Datuk Ahmad Kassim bagaimanapun yakin keserasian Anwar dan Ahmad Zahid yang pernah sama-sama berada dalam kepemimpinan UMNO, mampu menyumbang kepada potensi baik untuk mengemudi negara.

Sehubungan itu, bekas Pengerusi Lembaga Disiplin PKR berkenaan mengajak rakyat memberikan kepercayaan kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan dalam tempoh lima tahun ini.

“Kerajaan sudah terbentuk dan kalau nak terus dengan kritikan, sampai bila Malaysia hendak maju. Kita tidak akan jumpa kesempurnaan, kalau kita hendak melihat perkara ini berterusan, keadaan tidak tenteram akan menyebabkan kerugian kepada negara.

“Anwar adalah pemimpin yang pandai mengurus konflik dan memberikan kebebasan serta tidak berasa terkongkong bekerja dengannya. Justeru saya pasti mereka boleh menyesuaikan diri, Ahmad Zahid boleh bantu Perdana Menteri menerajui negara,” katanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga yakin kualiti yang ada pada Anwar dan Ahmad Zahid untuk mengemudi hala tuju negara.

Katanya, Anwar seorang yang tidak suka melengah-lengahkan tugas, manakala Ahmad Zahid pula bagus dalam aspek pembahagian tugas dan bekerja secara berpasukan, yang mampu menjadi formula kerjasama kedua-dua pemimpin itu.

Wan Junaidi berkata, semua pihak perlu sentiasa adil dalam membuat penilaian khususnya membabitkan isu membelenggu Ahmad Zahid berikutan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu belum disabitkan bersalah atas pertuduhan dihadapinya.

Bekas Ahli Parlimen Santubong itu juga sempat mengimbau kenangan ‘belajar’ mengenai falsafah yang dipegangnya hingga kini, ketika menemui Anwar yang semasa itu bertugas sebagai Menteri Kewangan pada 1997.

“Ketika itu saya menemui Anwar untuk permohonan projek saliran dan pengairan dan ketika itu juga, permohonan saya itu diminitkan kepada pegawai. Saya terkejut kerana tindakan dibuat begitu cepat. Anwar jawab ‘jangan tunggu hingga esok apa yang boleh dilakukan sekarang’.

“Falsafah itu sangat berguna untuk mana-mana pemimpin yang bekerja dan ia masih saya gunakan hingga kini. Ahmad Zahid pula ketika saya berkhidmat sebagai timbalan beliau di Kementerian Dalam Negeri, amat bagus dalam soal delegasi tugas.

“Beliau akan menurunkan tanggungjawab itu kepada timbalan yang berkemampuan, beliau bekerja secara profesional, bukan secara silo,” katanya.

Loading...
Terkini