Tumpuan :
Nasional

Terima Gred D oleh Bersih, kerajaan tetap komited reformasi institusi – Fahmi

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Kerajaan menerima baik respon pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang memberikan gred D terhadap prestasi dua tahun Kerajaan Perpaduan mentadbir negara.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pandangan itu diteliti dan akan berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Semestinya pihak kerajaan meneliti pandangan pelbagai pihak dan akan berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan selain daripada usaha dan ikhtiar perubahan dan reformasi termasuk reformasi institusi.

“InsyaAllah, dalam tempoh berbaki sidang Parlimen kali ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said akan membawa beberapa Rang Undang-Undang (RUU) yang akan mencerminkan usaha dan ikhtiar kerajaan untuk mereformasi dan tambah baik institusi,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Tambahnya, sejumlah RUU lain akan dibawa ke persidangan Parlimen akan datang.

“Memandangkan jumlah hari persidangan yang berbaki (tiga minggu), kita juga merasakan bahawa berkemungkinan sejumlah RUU akan dibawa ke mesyuarat pertama penggal depan yang akan bermula sekitar Februari.

“Jadi, banyak daripada RUU yang sedang direncana dan dirancang sedang dalam proses termasuk bagi kementerian ini contohnya RUU Majlis Media Malaysia yang sedang dalam proses akhir sebelum di bawa ke Parlimen,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Bersih memberikan gred D iaitu 45.8% kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.

Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pemarkahan yang diberi menunjukkan wujud jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini