comscore
Tumpuan :
Nasional

Terjun laut, tinggalkan barang kawalan untuk dijual ke negara jiran

Foto: Ihsan Zon Maritim Lahad Datu

Oleh: Safwan Sawi

LAHAD DATU: Pergerakan sebuah bot enjin mencurigakan di daerah perairan daerah ini pagi tadi membawa kepada penemuan barangan kawalan yang cuba diseludup keluar dan dijual di pasaran negara jiran.

Belum sempat ditahan juragan bot mengubah haluan ke arah daratan berhampiran dan telah bertindak terjun ke laut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Suzanna Razali Chan berkata pihaknya telah menahan sebuah bot enjin sangkut berwarna putih tanpa nombor pendaftaran.

Katanya bot yang dalam keadaan mencurigakan itu berada lebih kurang 0.4 batu nautika dari daratan Selatan Tanjung Batu, Felda Sahabat, Lahad Datu pagi tadi.

Foto: Ihsan Zon Maritim Lahad Datu

“Bot peronda Maritim Malaysia telah berjaya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan melalui maklumat awam lebih kurang pukul 4.00 pagi tadi.

“Walau bagaimanapun, ketika dihampiri APMM, juragan bot mengubah haluan ke arah daratan berhampiran dan telah bertindak terjun ke laut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Foto: Ihsan Zon Maritim Lahad Datu

Beliau berkata antara barang yang dirampas adalah 612 kilogram minyak masak, 108 paket tepung gandum dan 192 botol minyak wangi yang disyaki dibawa keluar untuk dijual di negara jiran.

“Turut dirampas sebuah bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran berserta dua enjinpam. Kesemua barang rampasan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM20,000,” katanya.

Ujar beliau lagi, kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi dijangka akan lebih aktif ketika Ramadan dan Syawal berikutan permintaan yang lebih tinggi.

“Ini merupakan tangkapan kedua dalam tempoh seminggu di Zon Maritim Lahad Datu melibatkan barang kawalan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini