comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Terkandas di Makkah: Pasport sedia dituntut, agensi pelancongan perlu bertanggungjawab – Anak mangsa


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Anak kepada pasangan suami isteri yang terkandas lebih 20 hari di Makkah bersyukur pasport ibu bapanya sedia dituntut di Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi.

Anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Ena mendakwa, pasport tersebut sebelum ini dipegang oleh agensi pelancongan (TA) yang menguruskan perjalanan kedua-dua ibu bapanya ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji menggunakan visa pelancong.

Terdahulu, Ena membuat sidang media di sini, merayu supaya TA terbabit mengembalikan pasport supaya ibu bapanya yang masing-masing berusia 60 dan 58 tahun, dapat pulang ke tanah air sejak berlepas ke Tanah Suci pada 2 Mei lalu.

Dia bimbang keselamatan dan kebajikan mereka setelah tidak mempunyai visa untuk mengerjakan haji.

Selang sejam selepas sidang media tersebut, Ena dihubungi wakil konsulat menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan dokumen berkenaan boleh dituntut di Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah pada bila-bila masa dari jam 8 pagi hingga 3 petang.

Dalam mesej tersebut, wakil konsulat turut memberitahu tuntutan pasport itu tidak meletakkan sebarang syarat atau dokumen yang perlu ditandatangani.

“Itulah kuasa media (dalam pelaporan), sekurangnya ibu bapa saya mendapat keadilan walaupun tidak semua. Tapi tiket penerbangan (pulang) macam mana? Hari itu saya ada belikan tiket (pulang) 23 haribulan (tapi tidak dapat pulang) sekarang ini siapa nak tanggung (beli) tiket?,” katanya yang ditemui di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta TA berkenaan bertanggungjawab dengan menanggung kos pembelian tiket penerbangan pulang ibu bapanya selain kos pengangkutan dari Makkah ke Jeddah.

Semalam, Ena membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Nilai, Negeri Sembilan terhadap TA itu kerana gagal menyediakan visa haji untuk ibu bapanya.

Difahamkan agensi yang dikendalikan sepasang suami isteri dan beroperasi di Sri Serdang, Selangor turut terkait dengan kes tiga jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sabtu lalu selepas gagal menyediakan tiket balik ke Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini