comscore
Tumpuan :
Nasional

“Terkejut saya bila uji syahadah, solat tunggang langgang” – Asyraf Wajdi

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR: Asas agama dan fardu ain seperti tahsin solat akan diberi penekanan di semua institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata hampir 100,000 pelajar yang tidak melalui pendidikan arus perdana atau kumpulan ‘drop-out’ atau tercicir yang diberi peluang menyambung pengajian seperti di GiatMARA perlu mempunyai aspek asas agama.

Katanya, ia susulan kerajaan telah mula mengarus-perdanakan dasar TVET di mana Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) adalah setaraf dengan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM).

“Terkejut saya apabila ada juga pelajar yang masuk GiatMARA dan Institut Kemahiran MARA (IKM) bila uji syahadah dan solat tunggang langgang,” katanya menerusi hantaran di laman sosial miliknya, sebentar tadi.

Justeru, Asyraf Wajdi berkata, beliau sudah meminta Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA untuk mewujudkan jawatankuasa menggubal modul khas agama bagi memantapkan dan memperkasakan asas-m agama termasuk akidah dan fardu ain.

Katanya, perlu juga ditambah dengan kemahiran asas seperti pengurusan jenazah sebagai kemahiran tambahan yang boleh menjadikan mereka bermanfaat di dalam komuniti masyarakat di lokaliti masing-masing.

“Modul ini boleh dimasukkan dalam kurikulum TVET di semua institusi pendidikan MARA seperti GIATMARA, IKM, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Malaysian-Japanese Industrial Institute dan German Malaysia Institute.

“MARA mahu melahirkan generasi TVET yang holistik dan seimbang teradun dengan empat elemen RISE (Religion, Innovation, Skill and Entrepreneurship) Insya-Allah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini