comscore
Tumpuan :
Nasional

Terkena bata jatuh dari flat, pengawal keselamatan cedera  

BAYAN LEPAS: Seorang pengawal keselamatan cedera apabila seketul bata melayang dari sebuah unit flat di Lilitan Sungai Ara di sini, semalam, mengenai mangsa yang sedang bertugas.

Abdul Rashid Dahlan, 64, cedera di bahu dan tangan kiri akibat terkena bata berkenaan.

Abdul Rashid berkata, ketika kejadian jam 1.30 pagi, dia melakukan rondaan rutin bersendirian di kawasan parkir flat berkenaan.

Dia kemudian berhenti sebentar selepas disapa penduduk dan ketika berbual, terdapat objek melayang sebelum mengenai bahu kirinya.

“Mujurlah penduduk berkenaan bertindak menghubungi ambulans dan saya diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Balik Pulau.

“Ia berlaku dengan pantas dan saya tidak pasti ia melayang dari tingkat berapa,” katanya.

Mengulas lanjut Abdul Rashid berkata, pada masa ini dia mendapat cuti sakit selama tiga hari selepas menerima rawatan.

Katanya, dia kesal kejadian itu berlaku yang mana boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa namun percaya ia berlaku mungkin ada kaitan dengan masalah parkir di flat ini.

“Kejadian sudah memasuki hari kedua dan darah yang terdapat pada luka masih belum berhenti jadi, saya perlu ke klinik terdekat sekali lagi bagi dilakukan pemeriksaan,” katanya lagi.

Abdul Rashid turut membuat laporan di Balai Polis Bayan Baru semalam bagi tindakan pihak berkuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini