comscore
Tumpuan :
Nasional

TERKINI: Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 2,004 orang

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Banjir di negeri ini semakin buruk dengan mangsa terus melonjak kepada 2,004 daripada 557 keluarga yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah, setakat jam 10.33 malam ini.

Satu lagi PPS di buka di daerah Mersing yang menempatkan 52 mangsa.

Ia terus meningkat berbanding pada jam 8 malam tadi, seramai 1,703 daripada 469 keluarga ditempatkan di 16 PPS di tiga daerah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, Segamat terus menjadi daerah terjejas.

“Mangsa banjir di lapan PPS dibuka di Segamat hampir semuanya meningkat kecuali di Balai Raya Kampung Seberang Batu Badak yang kekal 17 mangsa, manakala Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang ,Labis juga kekal dengan 477 mangsa.

“PPS yang meningkat mangsanya di Segamat membabitkan Dewan Serba Guna Pekan Air Panas (149 mangsa), Dewan Kampung Sungai Gatom Labis (121 mangsa) dan Dewan Serba Guna Kampung Paya Merah (154).

“Tiga lagi PPS di Segamat yang merekodkan pertambahan mangsa Dewan Serbaguna Kampung Orang Asli Segamat Kecil (127), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ai Chun (120) dan Balai Raya Kampung Usaha Jaya (64),” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, Kluang turut mencatat penambahan dua PPS baru, menjadikan enam PPS dibuka di daerah itu malam ini, berbanding empat petang tadi.

Ini membabitkan Sekolah Agama Seri Tengah 1 (43 mangsa ), Kampung GSA Chamek (4), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana (196) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina C) Ping Ming (26).

“Dua PPS baharu di Kluang membabitkan Balai Raya Kampung Bentong (21 mangsa) dan Balai Raya Kampung Muhibah Paloh (10 mangsa).

“Di Kota Tinggi pula, satu lagi PPS dibuka di Dewan Muafakat Taman Desaru Utama (131 mangsa), manakala Dewan Kampung Baru Sungai Mas kekal, dengan 43 penduduk Kampung Baru Sungai Mas membabitkan enam keluarga dipindahkan ke dewan itu,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, tiga laluan utama iaitu masing-masing satu di Kota Tinggi dan dua di Segamat ditutup kepada semua kenderaan, berikutan dinaiki air bah dan arus deras.

“Di Kota Tinggi, jalan yang ditutup ialah Jalan Ladang Siang berikutan dinaiki air banjir sedalam 0.75 meter.

“Di Segamat pula dua laluan ditutup membabitkan Jalan Senai-Gemas, berikutan dinaiki air bah 0.7 meter. Jalan Jabi-Bukit Tempurung turut ditutup kepada semua kenderaan berikutan dinaiki air bah sedalam 0.6 meter,” katanya.

Loading...
Terkini