comscore
Tumpuan :
Nasional

Terlibat demonstrasi, 11 individu termasuk penganjur beri keterangan di IPD Putrajaya

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PUTRAJAYA: Seramai 11 individu termasuk penganjur dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung satu himpunan, di Kompleks Seri Perdana.

Antara yang hadir memberi keterangan ialah penganjur, Aidil Yunus, dua peguam Rafique Rashid Ali dan Mohd Zubir Embong, bekas Ahli DAP Alex Shee, Ahli MCA Michelle Foo, Dayangku Intan, Olivia aka Mak Iban Olivia dan lain-lain.

Kesemua mereka dilihat hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya sekitar jam 2 petang dan selesai memberi keterangan kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Azizi ketika dihubungi memaklumkan dua lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan.

“Seorang lagi, Badrul Hisham Shahrin atau Che GuBard akan beri keterangan esok, manakala Datuk Tun Faisal sedang tetapkan tarikh,” katanya.

Difahamkan, kesemua individu terbabit hadir bagi membantu siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam pada itu penganjur Aidil Yunus berkata, mereka diambil keterangan secara berasingan dan memberi kerjasama yang baik kepada polis.

“Setakat ini, polis tidak memaklumkan akan memanggil kami semula bagi menyambung keterangan dan sekiranya ada, kita akan memberi kerjasama penuh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sabtu lalu, seramai hampir 200 orang berbaju hitam menyertai satu demontsrasi di Kompleks Seri Perdana, yang menggesa lapan tuntutan untuk dipenuhi dalam masa 30 hari.

Antara tuntutan yang diutarakan adalah mendesak kerajaan menurunkan semula harga diesel dan mengembalikan bekalan beras putih tempatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini