comscore
Tumpuan :
Nasional

Terminologi DUN: Sarawak akan rujuk Jabatan Peguam Negara sebelum buat pertukaran

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan  merujuk dan berunding dengan Jabatan Peguam Negara bagi menentukan perkataan  baharu yang sesuai bagi menukarkan perkataan ‘negeri’ dalam terminologi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 M-A-63.

Ia bagi memastikan perkataan baharu yang akan digunakan bagi mengantikan perkataan ‘negeri’ dalam terminologi berkenaan tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan seperti pertukaran nama jawatan Ketua Menteri Sarawak kepada Premier Sarawak sebelum ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ilham untuk menukar terminologi itu timbul daripada cadangan-cadangan daripada masyarakat awam Sarawak yang mahukan perubahan dalam gelaran Sarawak  bersandarkan apa yang termaktup M-A-63.

” Jadi kita akan menyesuaikan terminologi ini mengikut kesesuaian perundangan yang ada terutamanya  seperti apa yang diguna pakai oleh negara-negara Komanwel yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kunjungan Hari Raya Aidilfitri ke kediaman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di Kuching.

Menurut Abang Johari, Sarawak merupakan antara empat wilayah membentuk Malaysia pada 19 September 1963 bersama Sabah, Singgapura dan Persekutuan Tanah Melayu.

Justeru katanya pertukaran perkataan negeri dalam terminologi DUN Sarawak itu penting untuk membezakan dan mengiktiraf Sarawak sebagai sebuah wilayah yang bersama membentuk Malaysia.

“Kita akan melihat daripada sudut terminologi undang-undang bagi menggambarkan status Sarawak itu, sama ada gelaran itu nanti  Parlimen Wilayah atau Dewan Undangan Sarawak D-U-S; dan kalau DUS maka ahlinya digelar ADUS.

“Walau bagaimanapun kita akan rujuk kepada Jabatan Peguam Negara agar pertukaran itu tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohammad Asfia Awang Nassar mencadangkan agar perkataan “negeri”  dalam terminologi DUN Sarawak digugurkan  selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 M-A-63.

Namun begitu beliau menyerahkan kepada badan eksekutif negeri untuk memutuskan sama ada perkataan berkenaan akan digugurkan atau disebaliknya.

DUN Sarawak merupakan yang tertua dan terbesar di Malaysia dengan keanggotaan 82 ahli dewan.

Persidangan pertamanya telah diadakan di Bintulu pada 8 September 1867 dan ia dikenali sebagai Majlis Umum Sarawak sehingga  tahun 1903.

Pada tahun 1903, ia seterusnya diwartakan sebagai Majlis Negeri Sarawak sehingga 1976 sebelum dinamakan sebagai Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini