Tumpuan :
Nasional

Ternakan kelulut musnah sekelip mata akibat banjir

Penternak kelulut, Azmi (kiri) menunjukkan sarang kelulutnya yang terselamat daripada dihanyutkan banjir. Foto NSTP

KUALA KRAI: Ternakan kelulut yang diusahakan lebih empat tahun lalu musnah dalam sekelip mata akibat banjir yang melanda daerah ini, baru-baru ini.

Itu dugaan yang dihadapi pengusah kelulut dari Kampung Pasir Jering, Azmi Mohamed Ariffin, 50, yang terpaksa menanggung kerugian lebih RM5,000 selepas 30 sarang kelulut miliknya rosak dan dihanyutkan banjir baru-baru ini.

Azmi berkata, kesemua sarang kelulut yang rosak dan dihanyutkan banjir itu sudah melepasi tempoh matang dan dijangka boleh dituai dalam tempoh terdekat sekaligus menyebabkan kerugian yang dialaminya bertambah.

“Hujan lebat berterusan pada Jumaat minggu lalu menyebabkan perkarangan rumah saya dinaiki air walaupun sebelum itu sempat memindahkan sarang kelulut di tempat lebih tinggi bagi mengelakkannya hanyut termasuk meletakkannya di atas bumbung rumah.

“Namun, air naik terlalu cepat sehingga mencapai ketinggian lebih empat tiga meter menyebabkan 30 sarang kelulut tidak dapat diselamatkan dan banjir yang berlaku kali ini seakan bah kuning pada 2014,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan sarang kelulut tidak boleh digunakan lagi kerana dimasuki air dan rosak.

Bagaimanapun terdapat kira-kira 20 sarang kelulut yang masih boleh digunakan serta tidak dimasuki air.

“Selepas ini saya perlu lebih berjaga-jaga, tambahan pula terdapat ramalan gelombang kedua banjir. Bagi mengelak kerugian, saya akan memindahkan sarang kelulut yang dapat diselamatkan ini ke kawasan lebih tinggi.

“Walaupun mengalami kerugian besar disebabkan musibah banjir, ia tidak bermakna saya sudah berputus asa dan selepas banjir reda, saya akan menambah semula sarang kelulut kerana hasil jualan madu kelulut adalah antara pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya.

Azmi berkata, banjir yang berlaku baru-baru ini juga menyebabkan kediamannya turut terjejas selain banyak peralatan rumah musnah akibat ditenggelami banjir.

“Lebih membimbangkan, paras air pada ketika itu naik mendadak menyebabkan isteri serta anak-anak saya terpaksa menyelamatkan diri di atas bukit berhampiran.

“Sementara itu, saya pula berada di rumah dan berlindung di atas loteng bagi memastikan barangan di dalam rumah tidak dihanyutkan arus,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini