comscore
Tumpuan :
Nasional

Teroka keseronokan dunia sains kesihatan, pupuk minat STEM

PETALING JAYA: Tahukah anda kumpulan darah manusia ditentukan dengan kehadiran atau ketiadaan protein pada sel darah merah? Dan bagaimana rupa bentuk sel darah manusia dan hidupan seni di bawah pembesaran mikroskop sebanyak 100 kali?

Persoalan ini terjawab dalam program KIDSCIENCE anjuran Central Research Laboratories (CRL), Fakulti Perubatan di Univesiti Malaya pada 28 Ogos lalu.

Program tahunan yang masuk tahun kedua ini adalah inisiatif CRL memupuk minat kanak-kanak kepada STEM selain platform pemindahan ilmu dan kepakaran staf UM kepada pelajar .

Ia juga sebahagian satu khidmat sosial dalam membentuk komuniti cintakan STEM.

Seramai 25 kanak-kanak berusia antara 7 hingga 10 tahun mengambil bahagian.

Program ini menyajikan aktiviti berbentuk ‘hands-on’ iaitu memberi peluang peserta menyelidiki spesimen dan aktiviti bertemakan sains kesihatan seperti mengenalpasti patogen dan bakteria menggunakan mikroskop cahaya, ujian penentuan kumpulan darah, ujian kehadiran protein dalam makanan.

Setiap peserta kemudian diminta menyudahkan tugasan ringkas dengan melakukan eksperimen yang diminta fasilitator yang merupakan staf makmal dan pegawai sains berpengalaman dalam bidang sains kesihatan.

Peserta juga teruja diberi peluang menjalankan eksperimen kepekatan cecair dan juga mengendali peralatan asas makmal penyelidikan seperti alat pengempar dan alat penimbang saintifik.

Aktiviti yang dimuatkan dalam program ini mampu memberi sifat ingin tahu dan mendorong kanak kanak mencintai dan meneroka sains terutama sains kesihatan dan mengaitkannya dengan pandemik yang melanda dunia pada 2020 apabila mereka didedahkan teknik cucian tangan berkesan dan cara mencegah penularan wabak serupa.

Tambahan pula, eksperimen merupakan asas dari penyelidikan yang dijalankan di Fakulti Perubatan namun direkayasa menjadi menarik, mudah difahami dan boleh dicerna setaraf kefahaman kanak kanak sekolah.

Nosrihah Ismail, Juruteknologi Makmal Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

Memetik ucapan Prof. Dr. Shaliza Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya pada perasmian   acara FOM Research Carnival pada Oktober 2022, beliau menggesa diperbanyakkan program pemindahan ilmu kepada komuniti.

“Komuniti merupakan rakan dalam objektif penyelidikan, dan penyelidikan perlulah diselenggara supaya memberi manfaat terbaik kepada komuniti,” katanya.

Menganjurkan program bagi memupuk minat kepada STEM sedari alam persekolahan adalah langkah terbaik membina masyarakat celik sains dan teknologi terutamanya sains kesihatan di masa hadapan.

Diharapkan program sebegini mampu membentuk ahli ahli masyarakat yang bersemangat tinggi, cintakan ilmu sains dan cakna dengan isu kesihatan sejagat.

“Melangkah ke hadapan, komuniti penyelidikan, ahli ahli komuniti dan industri perlu bersama sama berikrar untuk mengambil pendekatan kreativiti dan penyelesaian inovatif terhadap isu sains dan masyarakat,” tambah beliau lagi.

Program diakhiri dengan penyampaian sijil dan pingat.

———————————————————————————————————————————————————-

*Maklumat lanjut program boleh didapati melalui Nosrihah Ismail, Juruteknologi Makmal Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

Loading...
Terkini