comscore
Tumpuan :
Nasional

Terokai bidang baru, TVET, Digital dan AI untuk maju – PM

KUALA LUMPUR: Kemajuan teknologi masa kini termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI) memerlukan rakyat terutama golongan muda meneroka ‘dunia baharu’ dan tidak berada di takuk lama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu sentiasa bersiap siaga dan meneroka alam pemikiran baharu.

“Saya sebut mengenai keperluan memecahkan tembok jumud yang membelenggu, masih pincang, masih di takuk lama, kebencian, penghinaan, fitnah dan menghukum sewenang-wenang. Itu yang menarik masyarakat ke bawah.

“Isu yang mendesak seperti TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) sebab itu saya di Jemaah Menteri saya tugaskan (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi khusus, tumpu hampir setiap minggu bagaimana untuk memperbaiki.

“Alhamdulillah kita tengok kurikulum berubah, penambahan jumlah dan beberapa keutamaan diberikan termasuk di maahad tahfiz. Ada orang pertikai, tetapi dia masih lagi hafiz dan kita perlukan huffaz tak ada masalah. Tapi masa yang sama meningkat satu bidang TVET, digital atau AI yang akan meletakkan mereka itu bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung malam ini.

Selain itu, Anwar berkata, beliau turut meminta Kementerian Pendidikan menambah tumpuan kepada bidang Matematik dan Sains serta Bahasa Inggeris, selain meminta supaya Fakulti AI diperkenalkan selari dengan perkembangan teknologi.

Terdahulu, Fakulti AI akan diperkenalkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri pada 3 Mei ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dilapor berkata, kerajaan sebelum ini memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi penubuhan fakulti itu selari dengan perkembangan teknologi termasuk AI.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini