Tumpuan :
Nasional

Terpedaya tawaran kerja, Imigresen bongkar sindiket hamba seks warga asing

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Bawa masuk wanita warga asing, terutama dari Bangladesh, kononnya ditawarkan kerja di negara ini dengan bayaran gaji RM2,000, sebaliknya mereka diperdaya dan dijadikan hamba seks tanpa dibayar gaji.

Kegiatan sindiket didalangi lelaki warga Bangladesh berusia 36 tahun itu bersama dua lagi rakan senegara, yang juga ahli sindiket berusia 30 dan 39 tahun, tumpas selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan Operasi Khas di sekitar Kuala Lumpur semalam.

JIM berkata, dalam operasi itu, pihaknya menyelamatkan dua wanita warga Bangladesh berusia 30 dan 34 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks.

Menurutnya, operasi bermula pada 2.38 petang membabitkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Berdasarkan maklumat, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 36 tahun yang dipercayai sebagai ‘dalang utama’ dan menjadikan lokasi itu sebagai pusat aktiviti seks.

“Hasil serbuan, pasukan operasi turut menahan dua lelaki warga Bangladesh berusia 30 dan 39 tahun yang dipercayai sebagai ‘ahli sindiket’ dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 50 tahun yang juga pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut JIM, modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk wanita warga asing, terutamanya daripada Bangladesh, dan menjanjikan pekerjaan di Malaysia dengan bayaran gaji sebanyak RM2,000 sebulan.

“Wanita warga asing yang baru tiba akan dibawa ke lokasi yang dijadikan tempat tinggal dan kemudian akan dibawa ke lokasi lain untuk menjalankan aktiviti seks.

“Mangsa dipaksa untuk bekerja dari pagi hingga ke tengah malam dengan melayani pelanggan warga asing yang diuruskan oleh sindiket,” katanya.

Katanya, mangsa tidak menerima sebarang bayaran serta hanya disediakan makan dan minum sahaja, mereka dipercayai dieksploitasi sejak sebulan yang lalu.

“Operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Jabatan akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini