comscore
Tumpuan :
Nasional

TH belum terima laporan rasmi rakyat Malaysia terkandas di Makkah dan Madinah

PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) setakat ini tidak menerima laporan rasmi berhubung kes rakyat Malaysia terkandas di Makkah dan Madinah akibat terpedaya dengan pakej haji menggunakan visa pelancong.

Sehubungan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta mereka yang berasakan diri diperdaya membuat aduan kepada TH, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk siasatan lanjut.

“Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam negara ini supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan TH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Beliau turut menasihati mana-mana pihak yang berada di Tanah Suci untuk pulang ke tanah air sekiranya tidak mempunyai visa haji yang sah.

Sebelum ini TH diarah menyiasat kejadian 300 bakal jemaah haji yang dilapor terkandas di Makkah selepas terpedaya dengan pakej haji murah ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan pelaksanaan penalti berjumlah 10,000 riyal (RM12,641) jika melanggar peraturan musim haji 2024 tanpa permit haji.

Tujuh kawasan ditetapkan itu ialah Makkah, wilayah Tengah, Masayir, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara.

Menurutnya, penalti itu akan dikenakan terhadap kesemua individu termasuk warga tempatan manakala rakyat asing yang ditahan akan dihantar pulang dan dilarang memasuki negara itu untuk tempoh yang ditetapkan di bawah peraturan berkenaan.

Difahamkan, pelanggaran peraturan itu boleh membawa kepada hukuman penjara enam bulan dan denda sehingga 50,000 riyal (RM63,096).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini