comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada Cadangan Buka Semula Zon Aliran Bebas Di Wang Kelian

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin meninjau laluan pejalan kaki berpagar yang menghubungkan Stesen Kereta Api Padang Besar dengan kawasan di luar Kompleks ICQs Padang Besar di Padang Besar. – FOTO : NSTP

PADANG BESAR: Kerajaan tidak bercadang membuka semula Zon Aliran Bebas (free flow) di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis yang dimansuhkan sejak 2015.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pada masa ini, keutamaan pihaknya adalah untuk memastikan kegiatan jenayah yang boleh menyebabkan sempadan negara dibolosi secara haram dapat dibanteras dan dikurangkan.

“Cara yang paling baik adalah kita kena pastikan kita mempunyai rancangan besar yang secukupnya di seluruh negara bagi mengatasi masalah jenayah seperti penyeludupan dadah, barangan kontraban dan pemerdagangan manusia agar masalah ini tidak berterusan di masa hadapan dan ini bukan hanya terhad kepada Wang Kelian.

“Banyak lagi kawasan sempadan antarabangsa di seluruh negara dan bukan sahaja di Wang Kelian kerana kalau saya ke Perlis, orang akan tanya pasal Wang Kelian dan begitu juga jika saya ke Sarawak dan Sabah orang akan tanya mengenai pintu sempadan di negeri berkenaan di mana semua mengalami masalah yang sama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mekar bersama Masyarakat Siam di Pusat Latihan Penjara (PULAPEN) Pusat Koreksional Perlis, Kok Klang, Chuping, di sini, hari ini.

Katanya, disebabkan itu juga perancangan komprehensif pada ‘masterplan’ berkenaan harus ditekankan bukan hanya dari segi kekuatan fizikal sebaliknya penentuan aset mengikut teknologi canggih yang ada pada waktu ini.

“Tujuannya adalah untuk pastikan kita dapat memantau semua pintu masuk termasuk di Wang Kelian dan kita juga hendak pastikan supaya tidak timbul masalah di tempat lain berkaitan rentas sempadan ini.

“Kita tidak mahu sekiranya apabila kita buat semula (free flow) di Wang Kelian wujud masalah lain pula menyebabkan Wang Kelian menjadi ‘weakest link’ dalam segala perancangan yang sudah kita buat,” katanya.

Beliau berkata, apabila wujud perancangan komprehensif terhadap rancangan ini maka ia perlulah dipatuhi oleh semua pihak.

“Bagaimana pula hendak beri ruang dan peluang untuk orang Perlis buat perniagaan di Wang Kelian maka kita kena patuhi undang-undang yang ada iaitu keluar dan masuk ke dalam dan luar negara perlu mempunyai dokumen yang sah seperti pasport.

“Perkara ini harus kita faham dan fikirkan kerana ini bukan hanya membabitkan Wang Kelian tetapi seluruh negara dan menjaga keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama dan bukan sahaja orang Perlis sebaliknya seluruh negara,” katanya.

Zon Aliran Bebas atau ‘free flow’ yang dilaksanakan di sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian sebelum ini dimansuhkan bermula 1 April 2015.

Keistimewaan adalah memudahkan pergerakan keluar dan masuk warga Malaysia dan Thailand tanpa pas sempadan atau pasport sejauh satu kilometer dalam kawasan Wang Kelian dan Wang Prachan di Thailand itu ditarik semula atas faktor keselamatan berikutan penemuan kubur besar pemerdagangan manusia di atas Bukit Wang Burma pada tahun berkenaan.

Hal berkenaan menyebabkan aktiviti ekonomi di Wang Kelian ‘mati’ dan ramai peniaga yang berniaga di kawasan itu sudah berpindah ke tempat lain menyebabkan kawasan itu menjadi ‘pekan hantu’. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini