comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada isu terputus bekalan makanan di Melaka

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP) Melaka menafikan berlaku isu terputus bekalan makanan di negeri berkenaan sebaliknya memberi jaminan barangan keperluan asas terutama ayam, telur dan minyak masak mencukupi di pasaran.

Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar berkata, sehingga semalam, sebanyak 260,790 biji telur ayam dan 160,939 kilogram (kg) minyak masak peket diedarkan ke seluruh negeri.

Beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan oleh Unit Bekalan kementerian itu di seluruh negeri hari ini juga mendapati bekalan masih mencukupi di pasaran tanpa sebarang masalah.

“Pemeriksaan di semua rantaian pengedaran minyak masak mendapati bekalan minyak masak paket khususnya, ada dijual dan dikawal penjualannya di kaunter-kaunter juruwang dengan had pembelian 3 paket.

“Pemeriksaan terhadap minyak masak botol bagi satu kg, dua kg, tiga kg dan lima kg di lokasi pemeriksaan masih mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Norena, pemeriksaan dijalankan di semua peringkat rantaian bekalan bermula daripada pemborong hingga peruncit.

Bagi minyak masak, ujar beliau bekalan boleh diperoleh di kedai runcit dan pasar raya dengan pelbagai jenama.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak mudah percaya dengan laporan daripada media sosial kononnya bekalan barangan keperluan asas tidak mencukupi pasaran.

Keadaan itu tegasnya, akan mengakibatkan berlaku pembelian panik sekali gus menyebabkan terjadinya kekurangan bekalan di pasaran.

Loading...
Terkini