comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada jangkitan COVID-19 melibatkan 7,193 pengembara dari China – Menteri Kesihatan

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa

Oleh Kumaran Rajamoney

Sejumlah 7,193 pengembara dari China dilaporkan tiba di Malaysia sejak 8 Januari 2023 hingga 10 Januari 2023.

PENDANG: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengesan mana-mana pelancong dari negara China yang tiba dengan jangkitan COVID-19 setakat ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata dapatan itu adalah hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap semua penumpang dari negara itu yang tiba di tanah air sejak 8 hingga 10 Januari lalu.

“Pada hari pertama sahaja kita telah menerima lebih kurang 4,000 orang pelancong dan jumlah terakhir jumlah pelancong setakat ini adalah 7,192 orang dan tiada langsung kes jangkitan atau bergejala yang kita kesan di pintu masuk.”

“Status ketika ini sangat baik, daripada apa yang kita lalui. Kita bukan sahaja mengambil langkah berjaga-jaga melibatkan pelancong China tetapi juga dari negara lain,” katanya.

Justeru, belum ada keperluan bagi menutup pintu masuk sempadan negara buat masa ini.

Tambah beliau, keadaan jangkitan COVID-19 dalam negara juga terkawal disebalik jumlah saringan yang tinggi dilakukan setiap hari.

“Jumlah saringan kita mencecah belasan ribu, menunjukkan ada kesedaran dikalangan rakyat tentang keperluan saringan COVID-19. Dalam keadaan itu, kita mengesan kes positif yang rendah,”

“Kita sekarang mencatatkan angka jangkitan kurang 500 kes. Jumlah positif semakin hari semakin rendah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada KKM.

Majlis disempurnakan oleh Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada Dr Zaliha dengan disaksikan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Hospital Pendang yang dibina dengan kos keseluruhan RM255.27 juta siap sepenuhnya pada 13 Oktober 2022 dan akan memulakan operasinya pada 15 Februari ini.

Hospital pakar minor ini akan menempatkan 10 bidang kepakaran antaranya Perubatan Am, Pembedahan Am, Obstetrik dan Ginekologi serta Ortopedik.

KKM juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM4.5 juta bagi melaksanakan perolehan mesin CT Scan tahun ini.

Loading...
Terkini