Tumpuan :
Nasional

Tiada kaedah sempurna dalam penyasaran subsidi RON95 – Rafizi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Tiada kaedah yang benar-benar sempurna dalam soal melibatkan penyasaran subsidi bahan api sama ada membabitkan diesel atau petrol RON95.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, untuk itu kerajaan memilih kaedah paling sesuai dengan keutamaan diberikan kepada mekanisme yang dapat memastikan pelaksanaannya kelak tidak menyebabkan kenaikan harga barang mendadak, selain pada masa mengekang inflasi.

Mengulas lanjut, Rafizi memaklumkan, sebarang kaedah yang bakal dilaksanakan kelak akan menyebabkan sedikit risiko termasuk dalam aspek masalah operasi di stesen minyak, atau menyebabkan penipuan serta peningkatan kos.

Namun beliau berkata, keutamaan kerajaan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 adalah untuk mengawal harga barang dan mengekang inflasi melalui kaedah yang ditetapkan kelak.

“Tak ada satu kaedah sempurna kerana mana-mana kaedah sekalipun akan menyebabkan sedikit risiko dan masalah seperti dari segi operasi, penipuan dan kos, namun paling utama kerajaan meletakkan keutamaan kepada usaha mengawal harga barang dan inflasi kerana itu lebih utama”

“Walaupun kita maklum pelaksanaannya kelak akan ada risiko, namun ini boleh diperbaiki dari semasa ke semasa, berbanding inflasi naik mendadak dan untuk menurunkan harga barang, ini akan lebih membebankan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat mengenai mekanisme penggunaan kad pengenalan untuk pengesahan kelayakan penerimaan subsidi RON95 yang terdedah masalah kerosakan cip kad pengenalan, capaian internet perlahan luar bandar, penipuan kelayakan, tambahan kos sistem pengesahan dan melambatkan proses pembelian minyak.

Dalam pada itu, Rafizi turut menegaskan kaedah harga dua peringkat di stesen minyak yang kini dipertimbangkan kerajaan boleh dilaksanakan kerana operasinya mampu diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Rata-rata ahli ekonomi menyatakan bahawa bayaran tunai adalah lebih baik kerana tidak membabitkan operasi di stesen minyak, namun kerajaan melihat risiko kenaikan harga barang.

“Kita sedia maklum apabila naik sahaja harga minyak, ia akan menyebabkan kenaikan inflasi.

“Atas pertimbangan itu, walaupun kita sedia maklum pelaksanaan harga dua peringkat ada risikonya di stesen minyak, namun ia sesuatu yang boleh diperbaiki berbanding contohnya ia dilaksanakan, namun menyebabkan inflasi naik mendadak kerana untuk menurunkan harga barang itu lebih susah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini