comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada kaitan dengan ritual agama atau adat sesuatu kaum – JPN

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Sesi pendaftaran perkahwinan sivil yang melibatkan sebuah video tular membabitkan Menteri Dalam Negeri hari ini tiada kaitan dengan ritual agama atau adat sesuatu kaum.

Menerusi satu kenyataan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan, pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164 dan ia dibuat sempena Majlis Sambutan Jubli Intan yang diadakan di Pejabat JPN, Putrajaya.

“JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran dan merekodkan maklumat perkahwinan serta perceraian bagi pasangan bukan Islam selaras dengan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].”

“Berdasarkan Akta ini, Menteri Dalam Negeri merupakan Menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang mana membolehkan beliau melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam.”

Malah menurut kenyataan itu, Ketua Pengarah JPN, Timbalan Ketua Pengarah JPN, Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri termasuk kakitangan JPN turut diberikan kuasa tersebut.

“Lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata.

“Ianya juga persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan tersebut dengan rela hati tanpa paksaan dari mana-mana pihak.

“Malah sesi pendaftaran Perkahwinan Sivil dengan YB (Yang Berhormat) Menteri ini diadakan sebagai acara istimewa untuk pasangan terpilih ketika sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun.

“Orang ramai perlu berhenti menyebarkan maklumat tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca bagi memastikan ketenteraman negara terus terpelihara,” kata kenyataan itu.

Loading...
Terkini