Tumpuan :
Nasional

Tiada keperluan sesi kedua SPM 2024 – Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

DENGKIL: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan tidak timbul keperluan untuk melaksanakan sesi kedua peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 disebabkan banjir.

Beliau berkata, ini kerana semua agensi kerajaan termasuk kementeriannya sudah bersiap siaga sepenuhnya di bawah Ops Payung bagi memastikan kelancaran kepada semua calon yang menduduki peperiksaan SPM.

Katanya, persiapan Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini adalah menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka minggu hadapan.

“Kenapa perlu ada sesi kedua kalau boleh buat satu sesi. Kita sudah melaksanakan persiapan di bawah Ops Banjir dengan kekuatan sepenuhnya agensi kerajaan.

“Setakat ini kementerian berpuas hati dan segala (SOP) berjalan dengan sangat baik.

“Keseluruhan kehadiran calon setakat Selasa lalu adalah 99 peratus untuk ujian bertutur Bahasa Malaysia,” katanya selepas majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Gamuda Cove di sini hari ini.

Sebelum ini Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mencadangkan mengadakan sesi kedua peperiksaan SPM supaya calon yang terjejas banjir boleh mendudukinya selepas keadaan reda.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, pendekatan tersebut tidak mustahil dilaksanakan ekoran pernah dibuat ketika negara dilanda COVID-19 dan banjir pada 2022.

Mengulas mengenai pembinaan Sekolah Kebangsaan Gamuda Cove dan Sekolah Jenis Kebangsaan Gamuda Cove, Fadhlina berkata, ia adalah inisiatif di bawah Derma dan Bina oleh syarikat korporat.

Beliau berkata, selain Gamuda Land, inisiatif Derma dan Bina sudah dilaksanakan oleh beberapa syarikat korporat yang lain dalam pembinaan sekolah awam.

Ketika ini katanya, sinergi inisiatif kerjasama itu adalah sangat menggalakkan antara pihak awam dan swasta.

“Inisiatif ini akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan sekolah di kawasan tertentu.

“Jalinan kerjasama awam swasta ini akan memberikan akses pendidikan dan memberikan pendidikan berkualiti kepada anak-anak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini