Tumpuan :
Nasional

Tiada kes baharu, kekal satu positif Mpox di Malaysia – KKM

Dr Dzulkefly Ahmad (tengah), Ketua Jabatan Hermatologi, Dr Tan Sen Mui (dua dari kanan), Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Ummi Kalthom Shamsudin (kanan), Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, Datuk Mohd Azman Yacob (dua dari kiri) dan Pengarah Hospital Ampang, Kasuadi Bin Hussin ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan Transplan Sel Stem / Sumsum Tulang (ST/ BMT) Di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia, di Auditorium Hospital Ampang. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiada kes positif cacar monyet atau ‘monkeypox’ (Mpox) varian clade II baharu direkodkan dalam negara setakat ini.

Beliau berkata, hingga kini negara kekal mencatatkan satu kes positif yang direkodkan pada September lalu.

“Tiada kes baharu (positif Mpox). Kes dahulu satu positif,” katanya selepas merasmikan Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan Transplan Sel Stem/Sumsum Tulang di Auditorium Hospital Ampang, hari ini.

Malaysia mencatatkan kes Mpox pertama pada 16 September lalu apabila seorang pesakit disahkan positif virus itu yang dikesan daripada 58 kes disyaki Mpox.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata pihaknya mengambil langkah siap siaga dan menyaring lebih 22.8 juta pengembara yang masuk ke negara ini tetapi semuanya negatif.

Media antarabangsa hari ini melaporkan kes pertama strain Mpox yang lebih teruk di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan di San Mateo County, California.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, ujian mengesahkan kes Mpox itu adalah daripada strain clade I.

Menurut Jabatan Kesihatan Awam California, individu itu baru-baru ini melakukan perjalanan dari Afrika, di mana terdapat wabak yang sedang berlaku.

Pada 17 September lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu kes positif Mpox dalam varian Clade II (dua) dikesan semalam, menjadikan semua 10 kes bermula 26 Julai lalu hanya membabitkan Clade ll saja.

Virus Mpox Clade I dikategorikan sebagai mudah berjangkit dan mempunyai kadar kematian 10 peratus, manakala Clade II mempunyai kadar kematian yang lebih rendah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini