JOHOR BAHRU: Polis daerah Seri Alam dekat sini mengesahkan tiada kes membabitkan kejadian melarikan seorang kanak-kanak di sebuah stesen minyak di Masai, petang semalam sepertimana yang tular di media sosial.
Ketuanya, Superitendan Suhaimi Ishak dalam satu kenyataan berkata, kejadian berkenaan telah dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook “Quyn Bohay” jam 2.30 petang pada 19 November.
Katanya, hasil siasatan yang dijalankan pihaknya mendapati kanak-kanak berkenaan selamat pulang ke rumahnya jam 4.00 petang, hari yang sama.
“Siasatan polis mendapati kanak-kanak berkenaan telah memaklumkan beliau keluar bersama rakan yang dikenalinya.
“Pemilik akaun Facebook yang memuat naik perkara itu juga telah memadam posting yang dibuat,” jelasnya.
Justeru beliau menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi bersabit kes berkenaan hingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat setempat.